Tiga sahabat dipenjara enam bulan dan denda RM1,000 kerana curi wang tabung masjid

Bernama
Januari 23, 2017 20:27 MYT
Tiga sahabat dijatuhi hukuman penjara enam bulan dan denda RM1,000 selepas mengaku bersalah mencuri wang dari dua buah masjid dan surau. - Gambar hiasan
Tiga sahabat dijatuhi hukuman penjara enam bulan dan denda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas mengaku bersalah mencuri wang tunai berjumlah RM162 dari dua buah masjid dan sebuah surau dekat sini.
Majistret Raja Noor Adilla Raja Mahyaldin menjatuhkan hukuman itu selepas ketiga-tiga tertuduh iaitu Mohamad Amirul Ashraf Jaafar Sidek, 25; Mohd Nurman Hakim Ahmad Roslan, 25, dan Mohamammad Faris Danial Faizal, 21, mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dikenakan ke atas mereka.
Mengikut pertuduhan pertama Mohamad Amirul dan Mohd Nurman didakwa dengan niat bersama mencuri wang tabung derma karpet milik Masjid Al-Ubudiah, Seksyen 19 di sini berjumlah RM100 kira-kira pukul 5.07 petang.
Bagi pertuduhan kedua mereka dengan niat bersama mencuba untuk mencuri wang tabung milik surau Seksyen 23, di sini dengan cara memancing menggunakan dawai besi yang diubah suai kira-kira pukul 6.05 petang.
BACA: Geng pecah tabung masjid diberkas
Kedua-dua perbuatan itu dilakukan pada 30 Dis lepas.
Bagi pertuduhan ketiga pula, Mohamad Amirul dan Mohammad Faris Danial Faizal didakwa dengan niat bersama telah mencuri wang tabung Masjid Munawwarah, Seksyen 27, di sini bernilai kira-kira RM62 pada 4.30 pagi, 16 Jan lepas dengan cara memancing menggunakan dawai besi.
Ketiga-tiga pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 10 tahun dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.
Dalam penghakimannya, Raja Noor Adilla memutuskan ketiga-tiga tertuduh dikenakan penjara lima bulan sekiranya gagal membayar denda dan hukuman berjalan serentak bermula hari ini.
Ketiga-tiga tertuduh gagal membayar denda tersebut.
Terdahulu, Peguam Nurul Ikrimah Mohd Raya yang mewakili ketiga-tiga tertuduh memohon hukuman lebih ringan dikenakan berikutan tertuduh berasal daripada keluarga susah, tidak mempunyai sebarang rekod jenayah dan berjanji tidak mengulangi perbuatan tersebut.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Ng Wee Li memohon hukuman setimpal dikenakan dengan mengambil kira ketiga-tiga tertuduh beragama Islam yang mana sewajarnya tidak mencuri di dalam surau atau masjid selain mengambil kira faktor kepentingan awam.
-- BERNAMA
#Masjid Al-Ubudiah #Raja Noor Adilla Raja Mahyaldin #tabung #TMasjid Munawwarah
;