Tiga rumah terbakar, enam tinggal sehelai sepinggang

Astro Awani
Jun 26, 2021 19:21 MYT
Asap tebal dari salah sebuah rumah yang terlibat dalam kebakaran di Kampung Haji Baki, Kuching pada 2.50 petang ini. - Foto media sosial
KUCHING: Tiga buah rumah di Kampung Haji Baki, Jalan Batu Kitang, di sini terbakar petang tadi.
Dalam kejadian sekitar jam 2.50 petang itu, sebuah rumah musnah sama sekali sementara dua buah lagi terjejas 10 peratus.
Pasukan pemadaman dari Balai Bomba Dan Penyelamat Batu Lintang yang menerima laporan kira-kira pada jam 2.53 petang bergegas ke lokasi kejadian dan berjaya mengawal kebakaran pada jam 3.15 petang.
Laporan awal menyebut rumah yang musnah dalam kejadian berkenaan adalah kediaman dua tingkat separuh kekal yang dihuni enam orang.
Manakala rumah kedua dihuni 12 orang sementara rumah ketiga didiami tiga penghuni.
Operasi pemadaman tamat sepenuhnya pada jam 5.00 petang dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
#terbakar #musnah #API #rumah #bomba #Kampung Haji Baki #Sarawak
;