Tiga rumah Orang Asli terbakar di pedalaman Gua Musang
Vivi Sumanti
Mei 23, 2022 13:00 MYT
Mei 23, 2022 13:00 MYT
GUA MUSANG: Tiga keluarga Orang Asli suku kaum Temiar hilang tempat tinggal apabila tiga buah rumah kayu didiami mereka musnah dalam kebakaran di Kampung Galang, Pos Hau, Gua Musang, pada Ahad.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang, Mohd Arifuddin Akif Mohd Noor berkata, kejadian kira-kira jam 6 petang itu menyebabkan dua buah rumah kayu hangus 100 peratus.
Katanya, sebuah rumah penduduk lagi turut musnah 25 peratus dan sebuah rumah atau balai rawatan tidak berpenghuni turut terlibat apabila terbakar lima peratus.
Mohd Arifuddin Akif berkata, kejadian kebakaran itu tidak melibatkan mangsa dan tiada sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa direkodkan.
Menurutnya, seramai sembilan anggota bomba yang diketuainya bergegas dengan dua jentera ke tempat kejadian selepas menerima panggilan pada jam 6.36 petang dan api berjaya dikawal pada jam 8.45 malam.
Anggota bomba perlu melalui jalan balak dan ladang sebelum tiba di lokasi perkampungan Orang Asli kira-kira satu jam setengah selepas itu.
Punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.
Sementara itu, Pegawai Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) daerah Gua Musang, Azman Ngadiron ketika dihubungi mengesahkan kejadian kebakaran menimpa penduduk Orang Asli itu.
Katanya, buat sementara waktu keluarga Orang Asli itu tinggal di rumah saudara mara dan bantuan segera akan diberikan kepada mangsa terlibat.