Tiga rumah hangus, 29 mangsa berjaya selamatkan diri
Afiezul Samit
Oktober 4, 2021 08:17 MYT
Oktober 4, 2021 08:17 MYT
SIBU: Tiga buah rumah kediaman hangus manakala 29 mangsa berjaya menyelamatkan diri termasuk tiga Orang Kelainan Upaya (OKU) dalam insiden kebakaran di Kampung Usahajaya Baru, Jalan Sentosa, Salim di sini pada Ahad.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba menerima panggilan kecemasan kejadian sekitar jam 8.45 malam dan terus mengerahkan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sibu dan BBP Sungai Merah ke lokasi.
Kebakaran melibatkan tiga rumah kediaman jenis struktur tidak kekal.
"Rumah pertama yang didiami lapan orang mangsa mengalami 40 peratus anggaran kemusnahan.
"Rumah kedua pula didiami 15 orang mangsa musnah sepenuhnya.
"Manakala rumah ketiga yang mempunyai enam orang penghuni mengalami kemusnahan 80 peratus," katanya dalam satu kenyataan.
Jelasnya, kesemua mangsa melibatkan 12 lelaki dewasa, lima wanita dewasa, seorang kanak-kanak lelaki dan tiga kanak-kanak perempuan.
Justeru ia turut melibatkan empat orang warga emas lelaki dan wanita, seorang bayi perempuan dan tiga kanak-kanak OKU yang terdiri daripada seorang lelaki dan dua perempuan.
Ujarnya, tiada kecederaan atau melibatkan kemalangan jiwa dilaporkan.
Punca kebakaran masih dalam siasatan dan operasi kerja-kerja pemadaman ditamatkan pada jam 10.50 malam.
Antara agensi lain yang hadir ke lokasi termasuklah pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan SESCO.