Tiga rentung kebakaran rumah di Sandakan
Radhi Muslim
Ogos 20, 2022 08:00 MYT
Ogos 20, 2022 08:00 MYT
SANDAKAN: Tiga individu dilaporkan rentung dalam satu kebakaran rumah di Taman Rajawali, dekat Batu Tujuh, pada Jumaat malam.
Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 malam itu, mangsa terdiri daripada dua wanita dan seorang lelaki.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan, Jimmy lagung berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasna berhubung kebakaran itu pada jam 10.35 malam lalu bergegas ke lokasi kejadian bersama 18 anggota bomba.
Menurutnya, sebaik tiba didapati sebuah rumah dua tingkat jenis kekal sedang terbakar lalu usaha memadamkan kebakaran segera dijalankan.
“Pada jam 11 malam, api berjaya dikawal sebelum pemeriksaan menemui tiga mangsa rentung di tingkat bawah, di bahagian ruang tamu rumah.
“Setakat ini identiti sebenar mangsa belum diperolehi.
“Mayat kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut sebelum dihantar ke Bilik Mayat Hospital Duchess of Kent Sandakan,” katanya dalam satu kenyataan pada, Sabtu.
Jimmy berkata, pemeriksaan lanjut mendapati rumah itu terbakar 90 peratus.
“Namun, punca kejadian dan anggaran kerugian masih dalam siasatan.
“Operasi pemadaman dihentikan sepenuhnya pada jam 1.21 tengah malam,” katanya.