Tiga remaja maut, kereta terbabas langgar pembahagi jalan
Adie Sufian Zulkefli
Disember 20, 2022 11:20 MYT
Disember 20, 2022 11:20 MYT
SUNGAI PETANI: Tiga sahabat maut manakala seorang lagi parah dalam kemalangan sebuah kereta yang terbabas di Kilometer 63.5 Jalan Alor Setar - Butterworth awal pagi Selasa.
Mangsa yang maut dikenal pasti Muhammad Aiman Rusdi, 17, Muhammad Izani Mohd Tuah, 15, dan Muhammad Iman Mohd Akhir, 17, manakala seorang lagi yang parah Muhammad Zulhakim Zulkhairi, 17, sementara seorang lagi cedera ringan.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, dalam kejadian jam 2.30 pagi itu kereta jenis Honda EG yang dipandu Muhammad Aiman dari arah Bakar Arang menghala ke Padang Temusu dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke sebelah kiri jalan.
“Kenderaan itu dipercayai dipandu laju telah hilang kawalan dan melanggar pembahagi kiri jalan. Impak perlanggaran yang kuat telah menyebabkan pemandu dan penumpang hadapan serta belakang maut serta-merta di tempat kejadian.
Zaidy berkata, mayat ketiga-tiga mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk bedah siasat.
Sementara seorang penumpang di belakang mengalami kecederaan parah dan dirawat di Zon merah Hospital Sungai Petani manakala seorang lagi mengalami kecederaan ringan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.