Tiga remaja dikhuatiri lemas di Kijal, Kemaman
Sharom Abu Bakar
Ogos 23, 2018 23:00 MYT
Ogos 23, 2018 23:00 MYT
Tiga penuntut intitusi pengajian tinggi dikhuatiri lemas ketika mandi di Pantai Teluk Kalong, Kemaman.
Kejadian dipercayai berlaku sekitar jam 6.30 petang Khamis .
Mangsa dikenali sebagai Ahmad Daniel Firdaus Zubir, penuntut Universiti MSU, Shah Alam, Selangor, Khairil Ikmal Danial Zamzuradi, penuntut Politeknik Kota Bharu, Kelantan dan Shahir Aqil Shahrun, penuntut Politeknik Sultan Ibrahim, Johor.
Kesemua mangsa yang berusia 19 tahun dipercayai lemas ketika mandi bersama empat rakan mereka yang lain.
Ketujuh-tujuh mereka yang bercuti Hari Raya Aidiladha dikatakan berkelah di pantai berkenaan sekitar jam 5.00 petang sebelum mandi-manda di sekitar jam 6.00 petang.
Menurut seorang rakan mangsa, Ahmad Haikal Zaaba, Mohd Daniel Firdaus menjerit meminta tolong selepas dihanyutkan arus ke tengah laut.
"Kawan saya minta tolong, seorang lagi cuba tolong, dia pun hanyut. Yang ketiga cuba tolong turut hanyut .
"Kami cuba tolong, rasa macam tak lepas. Kami balik ke atas dan minta tolong orang awam. Dalam lima minit minta tolong, orang awam cuba naik bot, dua buah bot tetapi ombak kuat sangat. Lepas tu keadaan senyap, mereka dah tiada," Ahmad Haikal.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Chukai , Penguasa Kanan Bomba, Zailani Mohamad berkata, pihaknya menerima laporan jam 6.24 petang.
Operasi mencari dan menyelamat membabitkan lima puluh lima anggota dari pelbagai agensi.
Pencarian pada skala radius yang luas serta aktiviti penyelaman akan dimulakan jam tujuh pagi ini.