Tiga remaja didakwa ingkar Perintah Kawalan Pergerakan
Abd Razak Mohd Ali
Mac 25, 2020 14:16 MYT
Mac 25, 2020 14:16 MYT
Tiga remaja lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret Taiping pada Rabu atas tuduhan gagal mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan wabak COVID-19, Ahad lalu.
Tertuduh, Lim Chun Hoe, 19, bersama dua rakannya masing-masing berumur 15 dan 16 tahun ditahan di dalam sebuah kereta pada 22 Mac jam 3 pagi di Jalan Air Kuning, Taiping.
Menurut pertuduhan, kesemua mereka menaiki sebuah kereta yang dipandu remaja berusia 15 tahun didakwa tidak mematuhi arahan penguatkuasaan PKP dengan bergerak dari Taman Sungai Mas ke Jalan Air Kuning.
Chun Hoe bersama remaja lelaki berusia 16 tahun didakwa di bawah Peraturan 3(1) Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 yang membawa hukuman denda RM1,000 atau penjara selama enam bulan atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Manakala remaja berusia 15 tahun itu pula dituduh di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas ketika pelaksanaan PKP.
Ketika pertuduhan dibacakan kesemua mereka mengakui tidak memahami sepenuhnya isi kandungan pertuduhan yang dibacakan dalam bahasa Melayu.
Majistret Adibah Abdul Kadir kemudiannya memutuskan sebutan semula kes tersebut pada 4 Mei dengan kehadiran jurubahasa Cina dengan dialek Hokkien.
Adibah turut membenarkan mereka diikat jamin, masing-masing RM1,000 dengan seorang penjamin.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Faakihin Ahmad Fauzi manakala kesemua tertuduh
diwakili Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Puteri Hikmatul Dzulaika Mohamad.
#COVID-19
#koronavirus
#mahkamah
#Mahkamah Majistret
#penjawat awam
#Perintahan Kawalan Pergerakan
#PKP
#remaja
#Taiping