Tiga rakyat Malaysia terkandas di Sudan dijangka tiba di tanah air Ahad
Nickyson Nyambar
Mei 5, 2023 19:45 MYT
Mei 5, 2023 19:45 MYT
KUALA LUMPUR : Tiga lagi rakyat Malaysia yang terkandas di Sudan sebelum ini akan tiba pada Ahad 7 Mei ini.
Perkara itu dimaklumkan Menteri Luar, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir dalam kenyataan pada Jumaat.
Ujar beliau, ketiga-tiga mereka dijangka tiba pada pukul 5 pagi (waktu Malaysia) melalui pesawat Saudia SV842 yang diuruskan sepenuhnya oleh Wisma Putra dan Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah.
"Akhirnya tiga orang rakyat Malaysia yang terkandas di Sudan sebelum ini telah selamat tiba dengan kapal tentera laut kerajaan Arab Saudi, 'Amanah' di King Faisal Naval Base, Jeddah, Arab Saudi pada 12.50 tengah malam (waktu Malaysia), 05 Mei 2023.
"Ketibaan mereka disambut oleh Pegawai Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah dan kemudian dibawa ke tempat penginapan yang telah disediakan oleh kerajaan Arab Saudi," jelas beliau.
Ujarnya, kejayaan itu adalah hasil usaha pihak Wisma Putra, Pasukan Khas Operasi Sudan, Kedutaan Besar Malaysia di Sudan, Kedutaan Besar Malaysia di Riyadh, kerajaan Arab Saudi serta beberapa pihak lain.
Beliau dalam masa sama mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dan menyeru sekiranya rakyat ada mempunyai saudara atau kenalan warga Malaysia yang masih berada di Sudan untuk berhubung dengan Wisma Putra untuk usaha pencarian.