Tiga rakan dituduh bunuh lelaki
Abd Razak Mohd Ali
Januari 18, 2021 11:45 MYT
Januari 18, 2021 11:45 MYT
IPOH: Tiga rakan didakwa di Mahkamah Majistret Ipoh pada Isnin atas tuduhan membunuh seorang lelaki di dalam sebuah ladang di Tanjung Rambutan, hujung bulan lalu.
N. Aviinesh Sarma, 21, S. Lingeshwarran, 23, dan P, Siva Raman, 33, masing-masing hanya mengangguk faham selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan bersama di hadapan Majistret Noor Azreen Liana Mohd Darus.
Mengikut kertas pertuduhan, mereka bersama-sama dua orang yang masih bebas didakwa membunuh K. Arun, 34, dengan menggunakan parang, berhampiran sebuah kuil di Ladang Tanjung Rambutan, antara jam 7.40 hingga 8.45 malam, 31 Disember lalu.
Mereka didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.
Tiada pengakuan direkodkan dan mahkamah kemudiannya menetapkan 18 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula untuk laporan kimia dan bedah siasat mangsa.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Fatimah Hannah Abd Wahab manakala ketiga-tiga tertuduh diwakili peguam Shahrul Nizam Mohd Rabi dan C. Kaladevi.
Pada 1 Januari lalu, mayat seorang lelaki yang dikehendaki polis dijumpai orang awam di kawasan belukar berhampiran sebuah kuil di Tanjung Rambutan, dengan kesan tetakan di pergelangan tangan dan bahagian belakang badan.
Berdasarkan maklumat polis, mangsa yang berusia 34 tahun mempunyai 12 rekod jenayah lampau, termasuk dua kes bunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
#Mahkamah Majistret
#tuduhan bunuh
#mahkamah
#bunuh
#jenayah
#mayat
#bunuh rakan
#mati
#lelaki
#Tanjung Rambutan