Tiga rakan didenda gantung iklan 'ah long'

Bernama
Julai 3, 2019 14:25 MYT
Semua mereka didakwa menggantung iklan pinjaman wang yang mengelirukan dan tidak jujur yang boleh mendorong orang awam untuk membuat atau cuba membuat pinjaman. - Gambar hiasan
Tiga rakan termasuk seorang remaja masing-masing didenda RM2,200 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah menggantung iklan syarikat pinjaman wang tidak berlesen, minggu lepas.
Majistret Nor Azizah Aling juga memerintahkan supaya Lee Chong Yau, 29, Fon Chong Sheng, 22, dan Gan Hong Ren, 19, menjalani hukuman penjara tujuh bulan, jika gagal menjelaskan denda itu.
Semua mereka didakwa menggantung iklan pinjaman wang yang mengelirukan dan tidak jujur yang boleh mendorong orang awam untuk membuat atau cuba membuat pinjaman pada 2.35 petang, 27 Jun lepas di tepi jalan berhampiran Kompleks Mahkamah Kuantan di sini.
Bagi kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 29AA Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda sehingga RM20,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Berdasarkan fakta kes, perbuatan mereka disedari oleh anggota polis yang menjalankan rondaan di kawasan itu, dan pemeriksaan menjumpai 49 iklan syarikat pemberi pinjaman wang tidak berlesen bersama tertuduh.
Pada prosiding itu, peguam Nurul Syafiqah Syeba Atan daripada Yayasan Bantuan Guaman yang mewakili semua tertuduh merayu mahkamah menjatuhkan hukuman denda minimum kerana mereka kini tidak bekerja.
"Sebelum ditangkap mereka mengambil upah menggantung iklan syarikat pinjaman itu dengan gaji sekitar RM700 sebulan. Mereka telah insaf dan berjanji akan mencari kerja lain selepas ini," katanya.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Aiysha Na'ilah Harizan.
Semua tertuduh menjelaskan denda tersebut.
-- BERNAMA
#Ah Long #gantung iklan #mahkamah #pinjaman wang tidak berlesen #tampal iklan
;