Tiga pulau 'premium' di Melaka dibuka kepada pelancong tahun ini
Bernama
Januari 29, 2022 04:05 MYT
Januari 29, 2022 04:05 MYT
MELAKA: Tiga pulau dikategorikan sebagai 'premium' yang kaya dengan terumbu karang dan hidupan laut kelas A di negeri ini, akan dibuka kepada pelancong khususnya penggemar aktiviti selam snorkel dan skuba, tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pembangunan Pulau-Pulau Melaka (MPPM) Azhar Yaacob berkata kehidupan marin di Pulau Nangka, Pulau Dodol dan Pulau Undan itu setanding dengan yang terdapat di kepulauan Sabah, seperti Semporna.
Beliau berkata di Melaka terdapat banyak pulau yang belum diteroka, dan di bawah kluster Pulau Besar terdapat enam pulau yang berpotensi besar dijadikan pusat pelancongan baharu, memandangkan pulau-pulau itu memiliki lebih 150 spesies terumbu karang dan hidupan marin.
"Jadi untuk masa terdekat ini, ketiga-tiga pulau premium ini bukan saja akan digazetkan sebagai Taman Laut malah akan dijadikan 'pintu masuk' pelancongan baharu di Melaka," katanya kepada pemberita selepas perasmian Pulau Besar New Year Challenge 2022 di Pulau Besar di sini semalam.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan negeri Datuk Muhammad Jailani Khamis.
Azhar berkata ketiga-tiga pulau itu akan menjadi tarikan yang luar biasa bagi industri pelancongan apabila diwartakan kelak, kerana di Selat Melaka hanya Pulau Payar di Langkawi yang telah diwartakan sebagai Taman Laut.
Katanya kajian untuk mewartakan pulau-pulau itu juga telah selesai dan akan dibawa ke peringkat kerajaan negeri dalam masa terdekat.
"Kos pembangunan tidak melibatkan jumlah yang besar kerana hanya melibatkan aktiviti pemuliharaan, manakala penguatkuasaan membabitkan kerajaan negeri serta Persekutuan," katanya.
Azhar berkata langkah mewartakan pulau-pulau di Melaka terutama Pulau Besar juga merupakan inisiatif bagi menjenamakan semula Pulau Besar sebagai pulau peranginan yang bersih, selamat dan menenangkan.
"Kita telah basmi aktiviti khurafat malah menetapkan kod berpakaian. Jadi orang ramai boleh datang untuk berehat atau melakukan aktiviti yang disediakan dengan selesa. Kita juga secara berperingkat berusaha membangunkan semula pusat peranginan yang terdapat di sini, yang sebelum ini terjejas akibat pandemik," katanya.
-- BERNAMA