Tiga pulau di Melaka dicadang diwartakan sebagai Taman Laut

Bernama
Oktober 2, 2021 04:12 MYT
Ahmad berkata pewartaan itu juga bagi memelihara dan memulihara ekosistem di kawasan berkenaan berikutan terumbu karang secara semula jadinya berfungsi sebagai kawasan perlindungan dan nurseri untuk juvenil hidupan marin. -Gambar fail
MELAKA: Pulau Undan, Pulau Nangka dan Pulau Dodol dicadang diwartakan sebagai kawasan Taman Laut Negara pertama di negeri ini meliputi kawasan satu batu nautika dari pantai.
Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan I Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata ketiga-tiga perairan itu dicadang diwartakan di bawah Seksyen 41 Akta Perikanan 1985 (Akta 317) bagi menjamin kelestarian kepelbagaian biodiversiti marin di sekitar Melaka.
"Kajian telah dilakukan Jabatan Perikanan negeri sejak 2018 dan mengenal pasti terdapat 81 spesies karang keras serta 19 spesies karang lembut berwarna-warni daripada jenis Gorgornion yang dijumpai di sekitar kawasan berkenaan.
"Bagaimanapun pewartaan ini masih belum mempunyai tarikh khusus dan menunggu kelulusan kerajaan negeri untuk merealisasikan cadangan ini," katanya kepada pemberita selepas melawat Pulau Undan di sini pada Sabtu.
Turut hadir, Exco Pertanian, Penternakan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri Datuk Norhizam Hassan Baktee, Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Makanan Datuk Haslina Abdul Hamid serta Ketua Pengarah Perikanan Ahmad Tarmidzi Ramly.
Mengulas lanjut, Ahmad berkata pewartaan itu juga bagi memelihara dan memulihara ekosistem di kawasan berkenaan berikutan terumbu karang secara semula jadinya berfungsi sebagai kawasan perlindungan dan nurseri untuk juvenil hidupan marin yang menyebabkan berlakunya peningkatan populasi hidupan marin.
Beliau berkata ia juga dapat memastikan peningkatan sumber perikanan daripada Taman Laut yang akan menyumbang kepada peningkatan populasi hidupan marin di luar kawasan.
"Kawasan yang akan diwartakan hanya melibatkan perairan pulau manakala daratan kekal hak milik pemilikan asas dan kemudahan asas seperti jeti, tandas, bilik persalinan serta sebagainya perlu disediakan Jabatan Perikanan.
"Keunikan khazanah laut itu dilihat mampu menjadi tarikan baharu bagi aktiviti ekopelancongan seperti aktiviti menyelam dan selam snorkel sekali gus dapat memberikan limpahan ekonomi kepada komuniti setempat, pengusaha bot dan inap desa serta hotel," katanya.
Menurut Ahmad, sebanyak RM110,000 disalurkan kepada Jabatan Perikanan negeri bagi melaksanakan aktiviti dan kerja-kerja pemantauan habitat, rehabilitasi, restorasi karang, perolehan peralatan, selaman selain program meminimumkan ancaman terhadap hidupan marin di ketiga-tiga pulau tersebut.
-- BERNAMA
#Pulau Undan #Pulau Nangka #Pulau Dodol #Taman Laut Negara
;