Tiga program banduan bantu kerajaan jimat sehingga RM270 juta

Mohd Zalani Md Atan
September 22, 2022 17:08 MYT
Ismail (dua, kiri) mencuba produk makanan yang dihasilkan oleh banduan dari Penjara Bentong pada Program Outreach Timbalan Menteri Dalam Negeri di sini hari ini. - BERNAMA
TEMERLOH: Jabatan Penjara Malaysia dapat menjimatkan perbelanjaan kerajaan sebanyak RM180 juta dengan melaksanakan program Orang Diparol (ODP) dan Orang Bebas Berlesen (OBB).
Menurut Timbalan Menteri Dalam Negeri 1, Datuk Seri Ismail Mohamed Said, dengan melaksanakan satu lagi program iaitu Perintah Kehadiran Wajib (PKW), tambahan RM90 juta lagi dapat dijimatkan, menjadikan jumlah keseluruhan penjimatan sebanyak RM270 juta.
Tambah Ismail, ketiga-tiga program pemulihan pesalah dan banduan di dalam komuniti yang dilaksanakan ini dilihat mendatangkan kesan positif terhadap ODP, OBB, terutama di dalam membina masa hadapan mereka yang lebih baik.
"Dan penjimatan kos bagi dua program ini adalah RM180 juta untuk ODP dan juga OBB dan kalau kita laksanakan perintah kehadiran wajib yang melibatkan 6,849 banduan kita boleh jimatkan hampir RM90 juta bermaknanya RM270 juta yang kita boleh jimatkan menerusi tiga program ini," katanya.
Ismail berkata demikian ketika ditemui media selepas program 'outreach' bersama Timbalan Menteri Dalam Negeri 1 di sini pada Khamis.
Dalam memastikan kejayaan Orang Diparol mengharungi Pemulihan Dalam Komuniti, pelbagai program intervensi diaturkan yang melibatkan pelbagai agensi kerajaan, swasta dan NGO yang bermula sejak tahun 2016.
Ternyata program dan kolaborasi ini telah mendatangkan kesan positif terhadap Orang Diparol terutama di dalam membina masa hadapan mereka yang lebih baik.
"Program (ODP) sangat positif memberikan peluang kedua bagi banduan dan saya harap masyarakat janganlah ada stigma tak nak terima hadiran mereka ini ke pangkuan masyarakat dan mereka ini adalah rakyat Malaysia yang boleh kita guna pakai bangunkan ekonomi dan pendapatan masing-masing," katanya.
Sejak tahun 2008, seramai 4,129 Orang Diparol dan 714 Orang Bebas Berlesen yang menjalani Pemulihan Dalam Komuniti di Negeri Pahang manakala 600 pesalah telah menjalani Perintah Kehadiran Wajib termasuk seorang pesalah syariah.
#program banduan #Jabatan Penjara Malaysia #Ismail Mohamed Said #Orang Di Parol
;