Tiga premis makanan di P.Pinang diarah tutup kerana kotor, ada najis tikus
Bernama
Julai 27, 2022 17:37 MYT
Julai 27, 2022 17:37 MYT
BALIK PULAU: Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) mengarahkan tiga premis makanan di sekitar daerah Barat Daya ditutup serta-merta kerana tidak menepati piawaian kebersihan yang ditetapkan termasuk penemuan najis tikus di dalam premis.
Datuk Bandar MBPP Datuk Yew Tung Seang berkata sepasukan penguat kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) itu menjalankan operasi secara mengejut semalam dan mendapati tiga premis makanan terbabit telah mengabaikan aspek kebersihan asas.
"Tiga premis itu diarah tutup selama 14 hari untuk melaksanakan kerja-kerja pembersihan menyeluruh kerana pemeriksaan pasukan penguat kuasa mendapati dua kedai terdapat najis tikus manakala satu premis memperoleh markah penggredan bawah 50 peratus.
"Dalam pemeriksaan itu juga ada pemilik premis meletak makanan mentah kurang daripada 20 sentimeter (cm) dari paras lantai, mengalirkan sisa basuhan kotor atau minyak ke dalam parit awam, perangkap minyak tidak diselenggara dengan baik dan beberapa kesalahan lain yang memberikan tanggapan buruk serta kesan negatif terhadap pengendalian masakan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Yew berkata pihaknya turut mengeluarkan lapan kompaun dalam operasi itu membabitkan kesalahan antaranya mengendalikan premis makanan tanpa lesen, tidak menjalani pemeriksaan doktor, dan tidak mempamerkan lesen pada tempat yang mudah dilihat di premis.
Beliau berkata MBPP akan sentiasa menjalankan operasi pemeriksaan secara rutin selepas pembukaan sektor ekonomi bagi memastikan keselamatan makanan di premis makanan terjaga.
"Semua pengusaha premis makanan dinasihatkan supaya sentiasa memastikan aspek kebersihan dalam keadaan baik dan sentiasa menyelenggara premis dengan sempurna agar kualiti penyediaan makanan terjamin," katanya.
-- BERNAMA
#premis makanan
#pulau pinang
#diarah tutup
#kotor
#najis tikus
#Majlis Bandaraya Pulau Pinang
#MBPP