Tiga premis makanan di Dalat diarah tutup selama 14 hari
Missel Ernie Bick
Ogos 28, 2023 10:45 MYT
Ogos 28, 2023 10:45 MYT
SIBU: Tiga premis di daerah Dalat telah diarahkan tutup selama 14 hari semasa 'Op Premis Bersih Siri 4/2023' baru-baru ini.
Semasa pemeriksaan dilakukan, sebanyak enam notis perintah untuk hadir ke mahkamah telah dikeluarkan.
Tujuan latihan yang dijalankan oleh Pejabat Kesihatan Daerah Dalat dan Pejabat Kesihatan Bahagian Mukah itu adalah bagi menyebarkan kesedaran kepada pengusaha makanan untuk mengambil berat aspek kebersihan dalam operasi harian mereka.
Menurut Pegawai Kesihatan Bahagian Mukah, Dr Huzaimah Husin berkata aspek yang ditekankan adalah di bawah Seksyen 10 dan Seksyen 11 Akta Makanan 1983 serta Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009.
“Daripada enam premis itu, lima notis kehadiran mahkamah dikeluarkan di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 dan satu notis kehadiran mahkamah adalah di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004, yang berkaitan dengan kesalahan merokok di dalam premis makanan.
“Manakala tiga premis telah diarah tutup selama 14 hari mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983 kerana tidak memenuhi piawaian kebersihan,” katanya dalam satu kenyataan.
Huzaimah berkata, pemeriksaan juga mendapati beberapa pengusaha makanan mengabaikan kebersihan diri selain tidak mendapat suntikan typhoid, tidak menjalani pemeriksaan kesihatan dan tidak mengikuti Kursus Latihan Pengendali Makanan yang mengikut peraturan 30 dan peraturan 31 Peraturan Kebersihan Makanan 2009.
Beliau turut menyeru agar semua pemilik premis makanan dan restoran menjaga kebersihan di premis masing-masing.
Ia termasuk kawasan penyediaan dan penyimpanan makanan bagi mengelak keracunan makanan dan penyakit bawaan makanan.
Pemilik premis dan pengusaha makanan yang tidak mematuhi boleh dikenakan kompaun di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009.