Tiga premis jual 'Android Box' diserbu
Sinar Harian
Jun 28, 2022 11:30 MYT
Jun 28, 2022 11:30 MYT
PUTRAJAYA: Tiga premis di pusat membeli-belah di Petaling Jaya yang menjual alat teknologi penstriman (Android Box) diserbu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) pada Rabu.
Pengarah Penguat kuasa KPDNHEP, Azman Adam berkata, pihaknya merampas 17 unit alat teknologi penstriman berserta dokumen berkaitan disyaki mengandungi karya hak cipta yang diadukan dengan nilai rampasan keseluruhan dianggarkan berjumlah RM6,800.
Menurutnya, dua lelaki berumur lingkungan 30-an turut ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah seksyen 43AA Akta Hak Cipta 1987 iaitu melakukan pelanggaran hak cipta dalam apa-apa karya dengan menjual suatu teknologi penstriman.
"Serbuan dilakukan secara berasingan itu dibuat selepas KPDNHEP melakukan risikan dan mendapat maklumat daripada pemilik hak cipta.
"Jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak kurang daripada RM10,000 dan tidak melebihi RM200,000 atau penjara sehingga 20 tahun atau kedua-duanya," katanya.
Beliau berkata, Akta Hak Cipta 1987 telah ditambah baik melalui pindaan Akta Hak Cipta (Pindaan) 2022 yang berkuat kuasa mulai 18 Mac lalu.
"Ia memberi penekanan dalam usaha pihak kementerian untuk membanteras pelanggaran hak cipta secara dalam talian atau cetak rompak digital ini dengan lebih berkesan," katanya.
Azman berkata, semua peniaga diingatkan agar tidak menjual alat teknologi penstriman seumpama ini.
"Tindakan penguatkuasaan serta pemantauan yang berterusan dan tegas akan dilakukan kementerian kerana alat teknologi penstriman ini berupaya untuk melakukan pelanggaran dalam apa-apa karya hak cipta yang dilindungi," katanya.
Tambah beliau, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung salah laku peniaga berhubung perkara ini boleh menyalurkan aduan lengkap kepada pihak kementerian melalui WhatsApp 019-2794317 atau 019-8488000 selain portal aduan, e-aduan.kpdnhep.gov.my. - Sinar Harian