Tiga PPS ditutup selepas banjir di Port Dickson pulih sepenuhnya

Bernama
Ogos 28, 2024 14:20 MYT
PPS di Kampung Sungai Raya ditutup selepas banjir di rumah mangsa telah surut dan air pasang surut menunjukkan paras biasa iaitu 2.1 meter pada 10.30 pagi tadi. -Gambar fail/Bernama
SEREMBAN: Banjir yang melanda beberapa kawasan di Port Dickson dekat sini pulih sepenuhnya selepas kesemua 141 mangsa banjir membabitkan 38 keluarga yang ditempatkan di tiga pusat pemindahan sementara (PPS) dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing hari ini.
Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Port Dickson Mohd Azri Abu Hassan berkata PPS di Kampung Sungai Raya ditutup selepas banjir di rumah mangsa telah surut dan air pasang surut menunjukkan paras biasa iaitu 2.1 meter pada 10.30 pagi tadi.
"Dua lagi PPS di Permatang Pasir dan Tanjung Agas juga ditutup pada 5 petang semalam selepas banjir beransur pulih dan air pasang surut berada pada paras biasa iaitu 2.3 meter," katanya dalam kenyataan.
Bagaimanapun katanya, sebanyak enam mangsa daripada sebuah keluarga masih ditempatkan di Dewan Bagan Pinang berikutan berlaku tanah runtuh selepas hujan lebat di Taman Sri Pinang.
Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun dilaporkan berkata fenomena air pasang besar disertai hujan lebat selama beberapa jam, dipercayai punca berlaku banjir di kebanyakan kawasan Port Dickson sejak Sabtu lepas.
-- BERNAMA
#PPS #pusat pemindahan #air pasang besar #Port Dickson