Tiga Pos Orang Asli di Gua Musang bimbang ancaman gajah liar sejak minggu lepas

Bernama
Januari 13, 2023 14:31 MYT
Pada awalnya gajah liar berkenaan masuk ke kawasan penempatan mereka untuk mendapatkan makanan, namun ia bertindak merosakkan kebun yang jaraknya sejauh 100 meter dari penempatan penduduk.- Gambar hiasan/Astro AWANI
GUA MUSANG: Lebih 2,000 penduduk penempatan masyarakat Orang Asli di Pos Belatim, Pos Bihai dan Pos Gob berdepan detik cemas apabila penempatan mereka diancam haiwan liar itu sejak minggu lepas.
Seorang penduduk Rahimi Dolah, 45, dari Pos Belatim berkata kebun tanaman mereka di Kampung Chachuh telah beberapa kali dimusnahkan haiwan itu, dan beliau khuatir kumpulan gajah berkenaan akan bergerak ke kampung yang lain pula.
"Jarak antara rumah dan kebun saya kira-kira satu kilometer (km) dan saya tidak dapat dengar bunyi bising ketika kebun dimusnahkan gajah berkenaan kerana kejadian sering berlaku pada waktu malam.
"Saya berasa agak bimbang mengenai keselamatan nyawa penduduk di sini sebab gajah itu masih lagi berkeliaran di kawasan ini, dan tidak mustahil akan bergerak ke perkampungan lain," katanya ketika ditemui pemberita, di sini hari ini.
Kamal Padek, 43, dari Pos Bihai pula berkata pada awalnya gajah liar berkenaan masuk ke kawasan penempatan mereka untuk mendapatkan makanan, namun ia bertindak merosakkan kebun yang jaraknya sejauh 100 meter dari penempatan penduduk.
"Isnin lepas seekor gajah masuk ke kawasan kampung untuk makan ubi kayu yang ditanam berdekatan rumah, kami berjaya menghalaunya, tetapi pada waktu malam ia masuk ke kebun pula.
"Gajah itu bukan sahaja memakan ubi dan pisang, tetapi juga merosakkan anak pokok kelapa dan pokok getah," katanya.
Angah Along, 60, berharap pihak Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dapat mengambil tindakan segera untuk mengatasi masalah ini.
"Gajah ini tidak mungkin akan bergerak ke tempat lain kerana telah menemui sumber makanannya di sini. Jadi saya harap agensi yang terlibat bantulah kami dengan segera," katanya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas Mohd Syahbuddin Hashim berkata konflik gajah dengan manusia ini tidak boleh dibiarkan berterusan dan langkah keselamatan sementara seperti memasang lampu halau gajah atau tindakan menyalakan unggun api perlu dilakukan oleh pihak berwajib bagi mengelakkan gajah berkenaan terus merosakan tanaman.
-- BERNAMA
#Gua Musang #Orang Asli #gajah liar #Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara
;