Tiga polis bantuan selamat wanita terjun jambatan terima pengiktirafan
Dewi Nur Harasha Alias
April 19, 2018 18:30 MYT
April 19, 2018 18:30 MYT
Keberanian dan kepantasan tiga anggota polis bantuan syarikat Jambatan Kedua Sdn. Bhd. (JKSB) menyelamatkan seorang wanita yang terjun dari Jambatan Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah (JSAHMS) semalam mendapat pengiktirafan daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) Pulau Pinang.
Ketiga-tiga mereka, Zaidi Salleh, 52, Mohamad Fitri Abu Hasan dan Megat Taufik Megat Kamaruddin, 29, menerima sijil penghargaan yang disampaikan Ketua Polis negeri, Datuk A. Thaiveegan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang pada Khamis.
Menceritakan semula detik cemas itu, Zaidi yang juga bekas Skuadron 104 di Pangkalan Udara TUDM Butterworth berkata, pengalaman selama lebih 20 tahun dalam pasukan itu membantunya dalam usaha menyelamat wanita terbabit.
Dia yang telah berkhidmat selama empat tahun bersama JKSB memberitahu bernasib baik apabila wanita tersebut memberi kerjasama yang baik apabila dihampiri sekali gus memudahkan kerja menyelamatkannya.
"Saya cuba tenangkan dia, minta dia mengucap. Saya pegang tangan dia dan dia tak meronta, tapi dia menangis. Saya tak tanya dia apa-apa sebab takut keadaan akan jadi teruk," kata Zaidi.
Zaidi berkata, itu bukan kejadian pertama dialaminya kerana pernah berdepan dengan situasi hampir sama di jambatan kedua sebelum ini apabila terpaksa bergadai nyawa untuk menyelamatkan seorang mangsa yang hanyut dibawa arus ke tengah laut.
Malah dia juga sering terlibat dengan kerja-kerja mencari dan menyelamat semasa berkhidmat dengan pasukan itu sebelum ini.
Sementara itu, Megat Taufik yang turut menerima sijil penghargaan berkata, Zaidi mengambil keputusan untuk terjun ke dalam laut bagi menyelamatkan mangsa yang ketika itu sedang terkapai-kapai dalam air manakala dia dan seorang lagi rakannya membantu menyediakan peralatan yang diperlukan ketika itu.
Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi semalam, wanita berusia 28 tahun itu dikatakan terjun dari jambatan berkenaan selepas meninggalkan kenderaannya di Kilometer 9.9 jambatan tersebut.
Difahamkan, tekanan perasaan dikenalpasti sebagai punca wanita yang pemegang ijazah Sarjana daripada Universiti Utara Malaysia (UUM) dan berasal dari Permatang Pauh itu bertindak demikian.
#jambatan
#Jambatan Kedua Sdn Bhd
#Jambatan Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah
#polis bantuan
#pulau pinang
#terjun
#wanita