Tiga perkara utama jamin masa depan Cameron Highlands

Arfa Yunus
Januari 13, 2019 18:42 MYT
SIM: Jika industri pertanian di Cameron Highlands dapat ditingkatkan, anak muda di sini juga akan mempunyai peluang pekerjaan dan masa depan yang lebih cerah. - Gambar fail
Pertanian moden, agro-pelancongan serta industri asas tani merupakan tiga perkara penting yang akan membentuk masa depan Cameron Highlands, kata Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) Sim Tze Tzin.
Menurut Sim, jika industri pertanian di Cameron Highlands dapat ditingkatkan, anak muda di sini juga akan mempunyai peluang pekerjaan dan masa depan yang lebih cerah.
"Untuk meningkatkan pertanian moden, pihak kementerian akan mula membawa penyelidik mulai Februari untuk membantu kaji selidik komuniti pertanian seperti kaji selidik mengenai benih-benih berkualiti tinggi.
"Bagi agro-pelancongan, lebih banyak pelaburan syarikat tempatan perlu dibawa selain menarik pelancong luar negara, dan bukan hanya pelancongan dalam negara sahaja.
"Selain itu, kita memerlukan industri pemprosesan agar hasil tanaman tidak dibuang sahaja, tetapi dapat diproses untuk dijadikan makanan seperti strawberi boleh diproses menjadi jem dan lain-lain," katanya dalam sidang media di Bilik Gerakan Pakatan Harapan di sini, pada Ahad.
Tambahnya, daripada membiarkan anak muda Cameron Highlands berhijrah ke negeri atau negara lain, mereka sepatutnya diberi peluang di tempat kelahiran mereka sendiri.
Katanya, seperti disaran oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini, generasi muda perlu diperkasa dari segi pertanian moden.
"Pertanian ini akan memberi masa depan yang cerah buat anak muda di sini dan kita (kerajaan) mahu mereka balik ke sini dan ambil bahagian dalam pertanian moden," katanya.
Semasa Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu ke-2 Disember lalu, Dr Mahathir dalam ucapan penangguhannya berkata, generasi muda akan diberi layanan istimewa menerusi bidang pertanian dan perniagaan.
Katanya ini disebabkan anak muda lebih menguasai teknologi terkini selain terlatih dan berpelajaran berbanding generasi lama.
#agro-pelancongan #Cameron Highlands #industri asas tani #MOA #Pakatan Harapan #pertanian #pertanian moden #Sim Tze Tzin
;