Tiga perkara perlu diberi tumpuan dalam pelaksanaan vaksin di UK - Pakar

Astro Awani
Disember 7, 2020 15:44 MYT
United Kingdom (UK) akan menjadi negara pertama di dunia menggunakan vaksin COVID-19 bermula minggu depan. - Gambar Reuters
KUALA LUMPUR : United Kingdom (UK) akan menjadi negara pertama di dunia menggunakan vaksin COVID-19 bermula minggu depan.
Situasi itu membuka ruang buat negara lain termasuk Malaysia untuk melihat keberkesanan vaksin tersebut.
Menurut Pakar Dasar Kesihatan Awam, Dr Khor Swee Kheng, ada tiga fokus yang boleh diberi perhatian ketika UK mula memberikan vaksin kepada rakyat.
Jelas Swee Kheng, perkara pertama yang harus diberikan tumpuan adalah keselamatan vaksin tersebut.
“Ada kesan sampingan atau kesan lain yang tidak dijangka hasil pelaksanaan vaksin itu. Kredibiliti dan kepercayaan terhadap NHRA (National Health Regulatory Authority) adalah amat tinggi di UK.
“Tahap keyakinan rakyat di sana juga agak tinggi. Jadi, perkara pertama yang Malaysia harus perhatikan adalah keselamatan,” katanya kepada Astro AWANI pada Isnin.
Tambahnya, perkara kedua yang perlu diperhatikan adalah logistik terutamanya ketika proses pengedaran vaksin.
Jelasnya, Malaysia harus meneliti dan mempelajari cara UK mengeluarkan vaksin tersebut dari peti sejuk yang suhunya sangat rendah dan kemudian mengedarkannya pula ke seluruh negara.
“Ketiga, keyakinan vaksin. Macam mana langkah kerajaan di UK untuk tingkatkan keyakinan penduduk di UK terima vaksin tersebut. Keyakinan tehadap vaksin ini merupakan perkara yang sangat rumit dan sensitif,” ujarnya.
Menurutnya, bukan saja Malaysia malah seluruh negara akan memberikan tumpuan kepada UK apabila mereka mula menggunakan vaksin tersebut.
#United Kingdom #vaksin #COVID-19 #UK #Malaysia #keselamatan #keberkesanan #kerajaan #kesihatan #rakyat #pandemik #Astro Awani #NHRA #pengedaran vaksin
;