Tiga penyamun warga asing ditembak mati selepas serang polis

Sinar Harian
Mac 14, 2025 08:20 MYT
Pasukan forensik sedang menyiasat di lokasi kejadian tiga penjenayah mati ditembak di Desa Vista, Sepang, awal pagi ini. - Foto Sinar Harian
SEPANG: Polis menembak mati tiga penjenayah warga asing selepas menyerang sepasukan polis dalam kejadian di kawasan hutan Desa Vista, di sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 3 pagi, sepasukan polis menerima maklumat berhubung kejadian pecah rumah di kawasan berkenaan.
Timbalan Pengarah (Risikan/Operasi) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Fadil Marsus berkata, seorang pemilik rumah terdengar bunyi alat penggera keselamatan dan menyedari kelibat individu bertopeng muka.
"Pemilik rumah berkenaan kemudian menghubungi pihak polis, susulan itu, kita bergegas ke lokasi bagi mengesan kesemua suspek terbabit," katanya ketika sidang akhbar di lokasi kejadian hari ini.
Fadil berkata, suspek bagaimanapun segera melarikan diri ke kawasan hutan berdekatan.
"Tindakan pantas kita berjaya mengesan tiga suspek berkenaan, mereka cuba menyerang menggunakan parang setelah menyedari kehadiran polis," katanya.
Beliau berkata, semakan lanjut mendapati kesemua suspek berusia 35 hingga 40 tahun itu tiada sebarang dokumen pengenalan diri.
"Semakan mendapati, kumpulan penjenayah berkenaan terlibat dalam 17 kes pecah rumah membabitkan kerugian RM1 juta di Selangor, Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur sejak tahun lalu termasuk tiga kes pada bulan Ramadan," katanya.
Menurutnya, suspek dianggap ganas dan berbahaya kerana tidak teragak-agak mencederakan mangsa yang cuba menghalang kegiatan mereka.
"Dalam kes samun di Sungai Buloh, mangsa cedera ditetak oleh suspek selepas cuba melawan.
"Kumpulan itu dipercayai berlima dan pihaknya sedang mengesan saki-baki penjenayah tersebut," katanya.
Menurutnya, semua suspek akan pulang ke negara asal selepas melakukan jenayah dan akan kembali ke negara ini untuk melakukan jenayah.
"Mayat kesemua penjenayah berkenaan di hantar ke Hospital Serdang untuk proses bedah siasat," katanya. - Sinar Harian
#pecah rumah #samun #warga asing #Sepang
;