Tiga penjenayah warga asing mati ditembak dalam cubaan merompak
Astro Awani
Jun 26, 2015 11:22 MYT
Jun 26, 2015 11:22 MYT
Tiga penjenayah warga asing mati ditembak dalam satu cubaan menyerang anggota polis awal pagi tadi.
Insiden berlaku sekitar jam 12 tengah malam tadi itu berlaku ketika cubaan suspek untuk merompak sebuah rumah di Puncak Perdana Shah Alam menemui kegagalan.
Sebelum itu, sepasukan anggota polis dari Cawangan Jenayah Berat, D9, IPK Selangor sedang menjalankan tugas rondaan mencegah jenayah di kawasan Bukit Jelutong, Shah Alam.
Bagaimanapun mereka terserempak dengan sekumpulan lelaki sedang berjalan kaki dalam keadaan mencurigakan.
Ketika cuba ditahan, kesemua suspek bertindak melarikan diri ke dalam hutan.
Semasa polis mengejar suspek, dua daripada penjenayah itu bertindak menyerang polis dengan menggunakan dua bilah parang. Seorang lagi suspek kemudiannya bertindak mengeluarkan senjata api.
Polis terpaksa melepaskan tiga das tembakan ke arah suspek.
Pemeriksaan forensik mendapati suspek mati akibat terkena tembakan di badan.
Polis turut menemui sepucuk pistol, dua bilah parang, topeng muka, pelbagai peralatan pecah rumah. Namun tiada dokumen pengenalan diri ditemui.
Mayat dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk dibedah siasat.