Tiga penjenayah mati ditembak di Sungai Siput - Polis
Bernama
Januari 11, 2015 18:08 MYT
Januari 11, 2015 18:08 MYT
Tiga penjenayah dipercayai warga asing, ditembak mati dalam insiden berbalas tembakan dengan pasukan polis di Jalan Lasah, Sungai Siput awal pagi ini, kata Timbalan Ketua Polis Perak Datuk A. Paramasivam.
Beliau berkata dalam kejadian kira-kira 4.45 pagi itu, penjenayah terbabit ditumpaskan apabila sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bahagian Siasatan Khas (D9) Perak melakukan rondaan Ops Cantas Khas di kawasan tersebut.
"Polis mengesan sebuah kereta jenis Perodua Myvi dalam keadaan mencurigakan dan mengarahkan kereta tersebut berhenti namun suspek bertindak menghimpit kereta polis menyebabkan berlaku kejadian berbalas tembakan antara polis dan penjenayah terbabit," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak hari ini.
Beliau berkata polis menemukan sepucuk pistol automatik jenis Walther .22, empat bilah parang, dua kapak, tiga topeng muka dan lima pasang sarung tangan di dalam kereta suspek.
Katanya kereta itu dilaporkan hilang di Bukit Puchong, Selangor pada 20 Ogos tahun lepas.
Paramasivam berkata kesemua penjenayah berumur lingkungan 30 hingga 40 tahun itu dipercayai aktif melakukan kegiatan jenayah sejak Julai tahun lepas.
Katanya tiada dokumen pengenalan diri ditemukan pada ketiga-tiga penjenayah itu yang dipercayai dalam perjalanan untuk melakukan rompakan di sekitar Sungai Siput.
"Kami percaya mereka adalah penjenayah yang sering melakukan jenayah samun rumah di sekitar Ipoh, Batu Gajah, Sungai Siput, Taiping dan Kuala Kangsar," katanya.
Beliau berkata dengan tertangkapnya penjenayah itu, polis percaya dapat menyelesaikan 17 kes samun di kawasan berkenaan.
Sementara itu, Paramasivam berkata polis menahan empat lelaki dipercayai warga asing dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Kanthan Baru, Chemor dan menemukan beberapa dokumen penting, dompet serta komputer riba yang dilaporkan disamun pada 5 Jan lepas.
"Kesemua suspek, yang cuba melarikan diri ketika serbuan berjaya diberkas. Mereka yang berumur antara 21 hingga 35 tahun kini direman sehingga 21 Jan untuk siasatan," katanya.