Tiga penjenayah diberkas selepas dikejar polis lebih 30 kilometer di Perak
Abd Razak Mohd Ali
Julai 31, 2024 07:30 MYT
Julai 31, 2024 07:30 MYT
IPOH: Polis berjaya memberkas tiga lelaki yang disyaki terlibat dalam kes curi kenderaan selepas mengejar mereka lebih 30 kilometer dan melepaskan tiga das tembakan, dalam kejadian awal pagi Rabu.
Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata, ketika kejadian, tiga anggota keluar melakukan tugas Op Lejang Khas, kira-kira jam 4 pagi, apabila ternampak sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Toyota Harrier dalam keadaan mencurigakan di di Jalan Medan Soon Choon 1 yang dinaiki tiga lelaki.
Menurutnya, ketika anggota polis menghampiri kenderaan itu untuk membuat pemeriksaan, mereka melarikan diri dan enggan berhenti walaupun diberi amaran.
“Selepas melalui Plaza Tol Simpang Pulai mereka keluar di Tol Gopeng, suspek terus merempuh palang di Plaza Tol Gopeng dan suspek telah berhenti secara mengejut, mengundur dengan laju, lalu melanggar motokar yang dinaiki oleh anggota polis.
“Anggota polis melepaskan satu das tembakan ke arah tayar belakang sebelah kanan dan mengenai motokar suspek.
“Tembakan itu adalah untuk melindungi diri kerana merasa terancam,” katanya kepada pemberita selepas majlis makan malam bersama media, di sini, malam tadi.
Menurutnya, kenderaan suspek terus memecut laju menghala ke arah Gopeng dan Batu Gajah.
Katanya, semasa insiden itu, suspek memandu melawan arus lalu lintas antara simpang lampu isyarat Kampung Pisang, Batu Gajah ke simpang lampu isyarat Jalan Bemban, Batu Gajah.
“Setelah melepasi lampu isyarat Jalan Bemban, suspek sekali lagi bertindak agresif menghimpit motokar polis dan anggota melepaskan dua das tembakan.
“Satu tembakan ke arah tayar hadapan kanan motokar suspek dan satu lagi mengenai bahagian badan motokar, di bahagian fender belah kanan.
“Sampai di persimpangan jejambat Jalan Siputeh Batu Gajah, motokar yang dinaiki suspek telah terbabas kerana tayarnya yang telah pecah ditembak polis,” ujarnya.
Menurut Azizi, ketiga-ketiga suspek berjaya diberkas selepas berlaku bergelutan apabila mereka cuba melarikan diri.
Polis turut menjumpai peralatan yang digunakan untuk mencuri kenderaan, termasuk peralatan elektronik di dalam kenderaan tersebut, yang juga disyaki dicuri.
Ketiga-tiga suspek yang berumur dalam lingkungan 30-an direman selama empat hari sehingga Sabtu, bagi membolehkan pihak polis menjalankan siasatan lanjut.
Polis, kata Azizi, yakin tangkapan itu dapat menyelesaikan banyak kes kecurian kenderaan, khususnya kenderaan pacuan empat roda.