Tiga peniaga didakwa seludup PATI
Adie Sufian Zulkefli
Disember 22, 2021 15:09 MYT
Disember 22, 2021 15:09 MYT
ALOR SETAR: Tiga peniaga dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Alor Setar hari ini atas pertuduhan menyeludup pendatang asing tanpa izin (PATI) di Plaza Tol Hutan Kampung, 26 November lalu.
'
Cheah Jui Huat, 50, Lee Kean Chuan, 40, dan Ling Khay Sing, 42, didakwa mengikut Seksyen 26J Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.
Mengikut pertuduhan yang dibaca berasingan, ketiga-tiga tertuduh didakwa menjalankan penyeludupan migran di Plaza Tol Hutan Kampung pada jam 9.25 pagi 26 November lalu.
Ketiga-tiga tertuduh memandu tiga buah kereta berasingan iaitu Proton Saga BLM, Proton Exora dan Proton Wira dimana membawa 12 perempuan dan lima lelaki PATI warga Myanmar.
Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih 5 tahun atau denda tidak lebih dari RM250,000 atau kedua-duanya.
Bagaimanapun, ketiga-tiga tertuduh tidak mengaku salah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Sharifah Norazlita Syed Salim Idid.
Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Syaliati Mohd Sobri manakala ketiga-tiga tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah tidak membenarkan ketiga-tiga tertuduh diikat jamin dan menetapkan 26 Januari depan untuk sebutan semula kes.