Tiga pengawal keselamatan dihadap ke mahkamah kes curi RM200,000

Adie Sufian Zulkefli
November 25, 2024 14:35 MYT
Ketiga-tiga tertuduh dibawa ke Mahkamah Majistret Alor Setar hari ini. - Gambar/ Astro AWANI
ALOR SETAR: Tiga pengawal sebuah syarikat kawalan keselamatan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Alor Setar hari ini atas tuduhan mencuri wang tunai RM200,000 yang berada dalam milikan majikan mereka pada minggu lalu.
Pertuduhan ke atas ketiga-tiga tertuduh iaitu Muhd Fairul Fizree Abdul Hamid, 38, Mohamad Zul Hilmi Ahmad, 37, dan Muhammad Fadzli Yaakub, 28, dibacakan di hadapan Majistret Siti Nurhidayah Mohd Noor.
Muhd Fairul Fizree mengaku bersalah atas pertuduhan tersebut, manakala dua lagi tertuduh membuat pengakuan tidak bersalah.
Mengikut pertuduhan, mereka secara bersama didakwa mencuri wang tunai RM200,000 dalam milikan majikan mereka iaitu syarikat Kawal Wiramas Sdn. Bhd. di sekitar lampu isyarat Taman Kristal, di sini kira-kira pukul 10.34 pagi, 19 November lalu.
Pendakwaan terhadap ketiga-tiga mereka dilakukan mengikut Seksyen 381 Kanun Keseksaan (KK) dan dibaca bersama Seksyen 34 KK yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan boleh dikenakan denda.
BACA: Polis tahan 3 pengawal keselamatan sembunyi RM200,000, buat laporan konon dirompak
Mahkamah membuat ketetapan akan menjatuhkan hukuman ke atas Muhd Fairul Fizree yang diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), H. A. Chuah, esok berikutan barang kes tidak dapat dikemukakan kepada mahkamah, hari ini.
Dia yang masih bujang dibenarkan dibebaskan dengan jaminan sebanyak RM4,500.
Terdahulu, Chuah dalam rayuan, memaklumkan Muhd Fairul Fizree mempunyai pendapatan RM1,500 sebulan dan menanggung anak kepada seorang kakaknya yang perlu menjalani dialisis.
Sementara itu, dua lagi tertuduh, Mohamad Zul Hilmi dan Muhammad Fadzli juga dibenarkan dibebaskan dengan jumlah jaminan yang sama, dan kes ditetapkan pada 29 Disember untuk serahan dokumen.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, R. Jayasri sementara Mohamad Zul Hilmi diwakili peguam, Ilyana Syafiqa Md Saad.
Khamis lalu Astro AWANI melaporkan tiga pengawal keselamatan ditahan selepas mencuri wang majikan berjumlah RM200,000. Mereka sebelum itu membuat laporan palsu kononnya wang itu hilang akibat dirompak.
#pengawal keselamatan #kes curi wang #kes mahkamah #laporan palsu
;