Tiga pengarah syarikat buat tuntutan palsu direman SPRM
Dewi Nur Harasha Alias
Julai 7, 2021 17:37 MYT
Julai 7, 2021 17:37 MYT
GEORGE TOWN: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pulau Pinang menahan reman tiga pengarah sebuah syarikat pembekal implan perubatan bagi membantu siasatan mengemukakan tuntutan palsu membabitkan nilai RM65,000.
Perintah reman selama empat hari dikeluarkan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Rendah George Town, Balqis Roslin di Mahkamah Majistret George Town pagi tadi.
Ketiga-tiga lelaki berusia 29, 30 dan 37 tahun itu ditahan bagi membantu siasatan berhubung tohmahan mengemukakan tuntutan palsu pembekalan implan ortopedik.
Tuntutan berkenaan membabitkan barangan yang dibekalkan kepada agensi-agensi bantuan seperti Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan pusat zakat.
Kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
Jika sabit kesalahan tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan dikenakan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah dipalsukan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.
Terdahulu, ketiga-tiga lelaki itu dibawa ke mahkamah diiringi pegawai SPRM pada jam 10 pagi.
Kesemua suspek ditahan di lokap SPRM Pulau Pinang untuk siasatan lanjut.
#mahkamah
#tuntutan palsu
#pengarah syarikat
#SPRM
#George Town
#pembekal
#implan perubatan
#Akta SPRM 2009