Tiga pendekatan baharu diperkenal dalam kurikulum persekolahan 2027
Irwan Muhammad Zain
Disember 6, 2023 18:30 MYT
Disember 6, 2023 18:30 MYT
PUTRAJAYA: Tiga pendekatan baharu akan diperkenalkan dalam kurikulum persekolahan 2027 melibatkan pendidikan karakter, penekanan literasi dan numerasi serta kelas pembelajaran bersepadu.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, kurikulum persekolahan 2027 akan dilaksanakan secara berperingkat iaitu bermula dengan Tahun 1 dan Tingkatan 1 pada 2027, manakala bagi murid prasekolah, ia akan diperkenalkan pada 2026.
Beliau berkata, reka bentuk kurikulum 2027 bakal menggabungkan kurikulum berasaskan standard dan kurikulum berorientasikan kompetensi yang menggalakkan pembelajaran aktif murid, menyediakan pengalaman pembelajaran dan penilaian yang lebih autentik serta bermakna.
“Ada beberapa perkara penting yang ingin ditegaskan khususnya bagaimana kurikulum persekolahan 2027 akan dipacu mulai hari ini. Pertama, pastilah berdasarkan kaji selidik awal yang telah dilaksanakan bersama responden-responden yang menyatakan hasrat dan aspirasi mereka ingin melihat kurikulum 2027 akan datang itu benar-benar mencapai maksud.
“Dalam konteks anak-anak pula, ia diperkukuhkan dari segi pendekatan pendidikan karakter dan juga elemen-elemen yang berkait rapat dengan kemahiran,” katanya pada sidang media selepas program Bicara Profesional Kementerian Pendidikan (KPM) Kurikulum Persekolahan 2027, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, menerusi ucapannya, Fadhlina berkata, pembentukan karakter yang dihasratkan adalah berteraskan prinsip Rukun Negara dan Falsafah Pendidikan Kebangsaan untuk membentuk individu yang dapat menyumbang kepada pembentukan negara melalui kurikulum yang terancang dan berstruktur.
Jelas beliau, pendidikan karakter itu memberi penekanan kepada pembangunan diri murid yang berdaya tahan, tangkas, memiliki kesedaran sivik yang tinggi dan mentaliti pertumbuhan.
“Kita memilih pendekatan yang lebih segar, pendidikan karakter ini akan dilaksanakan sebagai satu slot masa yang khusus dan berfokuskan kepada pembelajaran sosioemosi secara amali bermula dari prasekolah sehingga ke peringkat menengah atas.
“Malah, untuk memberikan makna kepada kehidupan sebagai warganegara yang bertanggungjawab, pendidikan karakter juga akan diterapkan dalam konteks pembinaan karakter bangsa Malaysia,” ujarnya.
Selain itu, katanya, KPM komited dalam memastikan murid menguasai literasi asas membaca, menulis dan mengira (3M) seawal mungkin bagi membolehkan mereka bersedia mengikuti pembelajaran pada tahap seterusnya.