Tiga pemuda ambil inisiatif beri kucing jalanan makan sepanjang tempoh PKP
Bernama
April 1, 2020 13:23 MYT
April 1, 2020 13:23 MYT
Tiga pemuda menggelar diri mereka 'Pemuda Cinta Kucing' (P.C.K.) mengambil inisiatif membelanjakan sebahagian wang saku untuk memberi makanan kepada kucing jalanan di sekitar Kangar, Padang Besar dan Arau sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Mohd Nor Zharif Idrus, 28, seorang penjawat awam berkata beliau mendapat idea itu kerana simpati melihat keadaan kucing jalanan yang kelihatan lapar dan dalam keadaan tidak bermaya.
Kucing jalanan itu sebelum ini diberi makan oleh orang ramai atau mencari makanan sendiri namun berikutan PKP, tiada lagi makanan daripada orang ramai dan tempat untuk kucing-kucing itu mendapatkan makanan.
"Melihat kucing itu dalam keadaan lemah, saya segera membeli makanan kucing di sebuah pasar raya berdekatan, paling menyedihkan ialah kucing itu tidak mampu bergerak dan saya terpaksa mendukungnya untuk memberi makan dan minum," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.
Mohd Nor Zharif berkata beliau kemudiannya mengajak dua orang rakannya iaitu Muhamad Ekmal Hakim Abdullah, 27, dan Ahmad Muliady Ab. Majid, 43, yang juga penjawat awam untuk turut sama membantu kucing jalanan.
Berkongsi pengalaman, Muhamad Ekmal Hakim berkata mereka bertiga mula sepakat memberi makan kucing jalanan di sekitar pekan Padang Besar pada Ahad lepas dan akan diteruskan sepanjang tempoh PKP yang akan berakhir pada 14 April nanti.
"Saya menyeru kepada orang ramai jangan segan silu untuk beri makanan kepada kucing. Walaupun sedikit. Kita ambil pendekatan rezeki kita itu ada untuk orang lain.
"Makanan kucing tidaklah mahal. Ada duit lebih, terus beli. Sebab sayang kucing. Kucing ini haiwan yang manja," katanya.
Sementara itu, Ahmad Muliady berkata beliau yang tersentuh melihat keadaan kucing jalanan yang uzur, berpenyakit serta dalam keadaan kelaparan, turut menyertai usaha dua rakannya itu.
"Saya ada membela seekor kucing di rumah, apabila melihat keadaan daif kucing jalanan, hati saya tersentuh kerana kebanyakannya bukan hanya berpenyakit tapi dalam keadaan lapar malah ada antaranya takut apabila melihat kelibat manusia, mungkin pernah dipikul... kami terpaksa pujuk dan belai kucing yang dalam ketakutan sebelum memberi makanan.
"Diharapkan ada pihak yang sedia membantu kucing jalanan, kucing tidak mampu meminta, adalah menjadi tanggungjawab kita sebagai manusia untuk membantu," katanya. - BERNAMA