Tiga pemilik syarikat mengaku salah guna dokumen palsu bagi kurangkan duti import kereta

Adie Sufian Zulkefli
Februari 1, 2024 15:00 MYT
Tertuduh Ong Seng Aun, Hoo Zui Bok dan Ooi Liang Sheng membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim Rohatul Akmar Abdullah hari ini. - Foto Astro AWANI
ALOR SETAR: Tiga pemilik syarikat mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Alor Setar hari ini, atas pertuduhan menggunakan dokumen palsu dipercayai untuk mendapatkan pengurangan duti kereta mewah sedangkan kenderaan terlibat tidak layak menerimanya.
Tertuduh Ong Seng Aun, 59, Hoo Zui Bok, 47, dan Ooi Liang Sheng, 36, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim Rohatul Akmar Abdullah.
Susulan pengakuan bersalah itu, hakim menetapkan Ong dan Hoo didenda RM5,000, manakala Ooi yang menghadapi dua pertuduhan didenda RM10,000.
Ketiga-tiga mereka didakwa menggunakan Borang Kastam Perisytiharan Barang-Barang Yang Diimport (K1) di Pejabat Kastam Daerah Langkawi, Dermaga Tanjung Lembung, Langkawi antara 21 April 2021 hingga 2 Okt 2021, mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan dihukum di bawah Seksyen 465 akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya.
Manakala Ooi berhadapan satu lagi tuduhan iaitu menggunakan Surat Akuan palsu pada 4 Nov 2018, di tempat sama dan dia didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan.
Empat lagi pertuduhan pilihan membabitkan dokumen palsu yang dihadapi Ooi dipertimbangkan sebagai “take into consideration” (TIC) di bawah Seksyen 171A Kanun Tatacara Jenayah.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Nurul Atiqah Mohamad Alias dan pegawai penyiasat Muhamad Taufik Awaludin, manakala Ong dan Ooi diwakili peguam Mohd Hakim Hamran dan Hoo diwakili peguam R. Sheshalini.
#tiga pemilik syarikat #dokumen palsu #SPRM #duti kereta mewah #Mahkamah Sesyen Alor Setar
;