Tiga pemburu haram ditahan miliki daging rusa sambar
Haron Shafie
Mac 4, 2016 17:58 MYT
Mac 4, 2016 17:58 MYT
Jabatan Perhilitan Perak menahan tiga pemburu haram ketika sedang mengangkut daging tiga ekor rusa sambar yang telah selesai dilapah di kawasan Hutan Simpan Amanjaya awal pagi tadi.
Menurut Pengarah Perhilitan Perak, Rozidan Md Yasin, ketiga-tiga lelaki berumur dalam lingkungan 40 an itu ditahan kira-kira jam 3 pagi ketika sedang mengangkut daging rusa sambar itu ke dalam sebuah kenderaan pacuan empat roda dipercayai untuk dijual.
Bagaimanapun, katanya, seorang lagi lelaki berjaya meloloskan diri ke dalam hutan dengan membawa bersama selaras senjata api.
''Dalam serbuan itu pegawai Perhilitan turut menjumpai beberapa butir peluru dan satu lesen senjata api di tempat kejadian.
''Siasatan kami mendapati ketiga lelaki terbabit dan seorang lagi yang berjaya melarikan diri berasal dari Kelantan,'' katanya dalam sidang media di pejabat Perhilitan Negeri Perak, di sini, hari ini.
Menurut Rozidan, ketiga lelaki terbabit akan didakwa mengikut Seksyen 60 (1) Akta Perlindungan Hidupan Liar 2010 membolehkan mereka didenda RM50,000 dan penjara dua tahun.
Katanya, ini merupakan kes ketiga berjaya dikesan pihak Perhilitan Perak di mana kes pertama seorang lelaki ditahan awal tahun ini kerana memiliki daging kambing gurun dan kijang, dan kes kedua seorang lagi lelaki ditahan atas kesalahan memiliki daging kambing gurun.
Beliau turut mendedahkan bahawa kegiatan pemburuan haram sedang berleluasa di kawasan hutan simpan di Hulu Perak, namun pihaknya sedang mengambil langkah bagi membendung kegiatan itu.
''Kita sudah kenal pasti beberapa kumpulan pemburu haram yang sering menceroboh di kawasan hutan simpan Temenggor Hulu Perak dan sedang menjejaki mereka untuk diambil tindakan segera,'' katanya.