Tiga pemancing hilang sejak Khamis ditemui selamat
Bernama
April 15, 2017 12:03 MYT
April 15, 2017 12:03 MYT
Tiga pemancing yang dilaporkan hilang di sekitar perairan Pulau Sepanggar, Pulau Gaya dan Pulau Mengalum, dekat sini sejak Khamis (13 April) lepas ditemui selamat malam tadi.
Pengarah Maritim Wilayah Sabah dan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Mohd Zubil Mat Som berkata mangsa Mohd Wapie Said, 34, Amsiran Mijan, 55, dan Malik Awang, 40, dijumpai oleh sebuah bot pelancong sekitar perairan Pulau Tiga dan mereka dihantar ke rumah keluarga saudara-mara mereka di Pulau Gaya sebelum bertolak ke Kota Kinabalu tengah malam tadi.
"Sebelum itu, pihak Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dimaklumkan sekitar 2.38 petang 14 April oleh keluarga mangsa, mereka (mangsa) berada di sekitar Pulau Tiga sedang mendayung dan dalam keadaan keletihan serta kelaparan.
"Mangsa memaklumkan (keluarga mereka melalui panggilan telefon bimbit) berada di sebelah matahari terbenam lebih kurang 20 batu nautika barat Pulau Tiga dan ternampak sebuah kapal besar serta pesawat terbang rendah. Setelah itu, mangsa tidak dapat dihubungi sehingga 4.45 petang," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Susulan penemuan mangsa tersebut, Mohd Zubil berkata operasi mencari dan menyelamat tamat 1.15 pagi tadi selepas mendapat pengesahan penemuan mangsa oleh Balai Polis Pulau Gaya.
Tiga mangsa tersebut dilaporkan keluar memancing pada 7 pagi, Khamis lepas dengan menaiki sebuah bot gentian kaca berwarna putih berukuran kira-kira lima meter dan sepatutnya pulang pada 9 malam pada hari kejadian.
-- BERNAMA