Tiga pelancong China maut dalam kemalangan bas dekat Yong Peng
Bernama
Oktober 7, 2015 20:53 MYT
Oktober 7, 2015 20:53 MYT
Tiga wanita pelancong rakyat China maut manakala 11 lain cedera parah dalam kemalangan membabitkan dua bas dan sebuah lori tangki di KM94 Lebuh Raya Utara Selatan, Yong Peng-Ayer Hitam dekat Batu Pahat, hari ini.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat ACP Din Ahmad berkata kejadian di lebuh raya arah selatan itu dipercayai berlaku kira-kira 5.30 petang.
"Dipercayai kemalangan berlaku apabila lori tangki dari arah Johor Baharu menghala Yong Peng itu hilang kawalan dan terbabas ke laluan bertentangan apabila tayar sebelah kanannya pancit.
"Lori tangki itu tidak sempat mengelak dan bertembung dengan bas dari Yong Peng-Ayer Hitam yang dinaiki kesemua wanita berkenaan di tepi sebelah kanan dan kemudian bertembung dengan sebuah lagi bas pada bahagian depan sebelah kanan pemandu," katanya yang dihubungi.
Akibat kemalangan itu bas yang dinaiki wanita berkenaan terbalik dan ketiga-tiga pelancong tersebut meninggal dunia di tempat kejadian manakala 11 lain cedera parah.
Katanya, pemandu lori berusia 46 tahun itu cedera manakala butiran lengkap pemandu kedua-dua bas serta kesemua penumpangnya belum diperoleh setakat ini.
Menurut Din, semua mayat dan mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Sultanah Nora Ismail, Batu Pahat, masing-masing untuk bedah siasat serta rawatan lanjut.
"Keadaan cuaca baik ketika kemalangan berlaku, namun sibuk dengan kenderaan. Terdapat kesan calar dan brek di tempat kemalangan," katanya sambil menambah siasatan dilakukan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sementara itu, Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Yong Peng, Penolong Penguasa Bomba Bakariya Mohd Salleh berkata pihaknya menerima panggilan mengenai kemalangan itu pada pukul 5.26 petang tadi dan tiba di tempat kejadian 10 minit kemudian.
"Seramai 24 penumpang dalam sebuah lagi bas selamat manakala pemandu lori jenis Scania itu cedera," katanya.
Bakariya berkata anggota bomba kemudian bertindak membantu mengeluarkan mayat mangsa dan penumpang yang cedera dalam kejadian itu.