Tiga pelajar wakili negara ke pertandingan kuiz ASEAN peringkat rantau

Bernama
Julai 21, 2022 06:15 MYT
Tiga pemenang utama Pertandingan Kuiz ASEAN Peringkat Kebangsaan 2022 akan mewakili negara ke Pertandingan Kuiz ASEAN Peringkat Rantau anjuran Myanmar pada hujung tahun ini. -Jabatan Penerangan Malaysia
PUTRAJAYA: Tiga pemenang utama Pertandingan Kuiz ASEAN Peringkat Kebangsaan 2022 akan mewakili negara ke Pertandingan Kuiz ASEAN Peringkat Rantau anjuran Myanmar pada hujung tahun ini.
Mereka adalah Sky Broxlyne Roy Maxwill, pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mat Salleh Ranau, Sabah yang diumumkan sebagai Johan Pertandingan Kuiz ASEAN Peringkat Kebangsaan 2022 bagi Kategori Murid Sekolah.
Dua lagi wakil negara adalah George Loh Ing Won dari SMK Methodist, Sarawak yang memenangi tempat kedua dan Muhammad Adam Haiqal Shaari Ismail dari Sekolah Menengah Sains Kuala Terengganu, Terengganu di tempat ketiga.
Menurut Jabatan Penerangan (JaPen), sebanyak 20 peserta dalam Kategori Murid Sekolah telah bertanding dalam Sesi Live Quiz sempena Pertandingan Kuiz ASEAN Peringkat Kebangsaan 2022.
Sesi tersebut dilaksanakan pada 20 Julai secara dalam talian melibatkan peserta dengan markah tertinggi dan masa terpantas dalam Pertandingan Kuiz ASEAN 2022 yang dilaksanakan pada 1 hingga 30 Jun lepas.
Timbalan Ketua Pengarah (Kandungan Digital) Jabatan Penerangan Malaysia Hashim Bedu dalam kenyataan sama memaklumkan Pertandingan Kuiz ASEAN 2022 telah mendapat sambutan amat menggalakkan terutama dalam kalangan murid sekolah.
Katanya, jumlah penyertaan bagi Kategori Murid Sekolah pada tahun ini adalah 36,508 iaitu peningkatan sebanyak 43 peratus berbanding 25,595 penyertaan pada 2020.
"Jumlah keseluruhan penyertaan pada tahun ini adalah sebanyak 54,796 iaitu peningkatan sebanyak 16 peratus berbanding 47,091 pada 2020," katanya.
Pertandingan Kuiz ASEAN 2022 telah berlangsung pada 1 hingga 30 Jun lepas melibatkan dua kategori iaitu Kategori Terbuka dan Kategori Murid Sekolah.
Bagi Kategori Terbuka, johan dimenangi oleh Mohammad Fakkrudin Hasani dari Kedah manakala naib johan Siti Aishah Abdul Rahman dari Pahang dan ketiga Gobinath Nair a/l Ravi dari Sabah.
Pertandingan Kuiz ASEAN adalah acara dwitahunan yang diadakan secara berkala di bawah kalendar ASEAN-COCI (Committee of Culture and Information) yang juga antara badan di bawah ASEAN.
Antara objektif Kuiz ASEAN adalah untuk meningkatkan tahap pengetahuan dan kesedaran mengenai hal ehwal ASEAN dalam kalangan peserta, di samping bertujuan memberikan pendedahan kepada golongan belia terhadap aspek kebudayaan, politik, ekonomi dan sosial negara-negara ASEAN.
-- BERNAMA
#Kuiz ASEAN Peringkat Kebangsaan #Pertandingan Kuiz ASEAN Peringkat Rantau #Sky Broxlyne Roy Maxwill #George Loh Ing Won
;