Tiga pelajar tingkatan 2 maut dirempuh kereta
Astro Awani
Ogos 1, 2022 08:15 MYT
Ogos 1, 2022 08:15 MYT
DUNGUN: Tiga pelajar tingkatan dua maut selepas motosikal ditunggangi mereka bertembung dengan sebuah kereta di kilometer 80, Jalan Jerangau-Jabor, berhampiran Bukit Besi, dekat sini.
Nahas kira-kira jam 9 malam pada Ahad itu menyebabkan penunggang dan dua pembonceng motosikal mengalami kecederaan parah pada beberapa bahagian badan.
Menurut Ketua Polis Daerah Dungun, Supt Baharudin Abdullah, kesemua mangsa berusia 14 tahun itu dikenal pasti sebagai Mohammad Hafiqzie Mohd Zukri, Muhammad Salman Faris Samsu dan Muhammad Faris Haikal Mohd Faizal.
Tambah Baharudin, siasatan awal mendapati kesemua pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Besi itu dikatakan dalam perjalanan dari Kampung Bukit Besi menghala ke Jabor untuk ke kedai makan sebelum motosikal mereka bertembung dengan sebuah kereta yang datang dari arah bertentangan.
Jelasnya, ketika tiba di lokasi kejadian, kereta jenis Proton Saga Aeroback dinaiki pasangan suami isteri berusia 40 dan 45 tahun itu dipercayai cuba memotong sebuah kenderaan lain namun tidak sempat mengelak lalu merempuh motosikal dinaiki mangsa.
Akibat rempuhan kuat itu, dua mangsa Muhammad Faris Haikal dan Muhammad Hafiqzie tercampak ke jalan raya, manakala Muhammad Salman Faris pula diseret kira-kira 50 meter ke dalam semak berdekatan.
Baharudin berkata kesemua mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk tindakan lanjut.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
#nahas motosikal kereta
#Tiga pelajar tingkatan 2 maut
#Jalan Jerangau-Jabor
#Mohammad Hafiqzie Mohd Zukri