Tiga pelajar SMK Guar Nangka hasilkan bateri biojisim daripada hampas tebu

Bernama
Oktober 22, 2024 05:00 MYT
Mereka memilih untuk menggunakan hampas tebu yang mengandungi karbon sebagai bahan asas berbanding sumber lain seperti tempurung sabut yang biasa digunakan. - Foto SMK Guar Nangka
ARAU: Penampilan bateri biojisim yang memanfaatkan hampas tebu sebagai sumber tenaga, hasil inovatif tiga pelajar tingkatan tiga dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Guar Nangka dekat sini berjaya memenangi pingat emas pada pertandingan inovasi Karnival Minggu Sains Negara (MSN) 2024 peringkat negeri Perlis semalam.
Projek yang digerakkan oleh Aulia Farhana Amran, Nur Damia Saffiya Shamrezal dan Mahirah Aziz itu telah berjaya mengungguli pertandingan inovasi karnival berkenaan, yang berlangsung di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Arau di sini selama dua hari bermula Ahad lepas.
Aulia Farhana berkata bagi pertandingan itu mereka memilih untuk menggunakan hampas tebu yang mengandungi karbon sebagai bahan asas berbanding sumber lain seperti tempurung sabut yang biasa digunakan.
"Kami memilih hampas tebu kerana ia mampu menghasilkan voltan yang lebih tinggi, boleh saja nak pakai sumber lain tetapi kami dah buat eksperimen, hampas tebu lagi mempunyai voltan tinggi," katanya ketika ditemui Bernama di sini.
Beliau berkata proses pembuatan bateri itu melibatkan beberapa langkah, antaranya hampas tebu perlu dileraikan dengan cara disalai dan dimasak sehingga menjadi serbuk hitam yang dikenali sebagai karbon.
Aulia Farhana berkata karbon yang terhasil itu kemudiannya dicampurkan dengan natrium dioksida, air suling dan mangan dioksida sebelum dimasukkan ke dalam bekas untuk dijadikan bateri berkenaan.
"Bateri biojisim ini telah diuji dengan voltan mencapai 1.87 Volt, dan telah berjaya digunakan bagi menyalakan mentol dan lampu LED. Inovasi ini bukan sahaja menjimatkan kos tetapi juga menyokong usaha kitar semula.
"Hampas tebu yang biasanya dibuang selepas proses pengambilan air tebu kini dapat dimanfaatkan semula dengan cara yang lebih berkesan dan mesra alam. Saya dan rakan berharap agar projek ini dapat menjadi contoh kepada penggunaan sumber kitar semula yang lebih meluas di masa hadapan," katanya.
Sementara itu guru penasihat projek itu yang juga guru Sains di sekolah berkenaan Izwan Azura Mat Dai berkata pihaknya bercadang untuk mendaftarkan produk inovasi bateri itu dalam Daftar Hak Cipta supaya dapat dipatenkan, sebagai perancangan masa depan.
"Insya-Allah nak patenkan.. tetapi perlu mantapkan lagi kualiti bateri ini daripada segi ketahanan bateri," katanya.
-- BERNAMA
#Minggu Sains Negara #SMK Guar Nangka #Perlis #inovasi pelajar sekolah
;