Tiga pelajar IPT lemas di Air Terjun Lubuk Jepun, Gombak

Bernama
Oktober 3, 2016 18:51 MYT
Mayat ketiga-tiga mangsa dibawa naik oleh orang awam sebelum pegawai Bomba tiba di lokasi. - Foto Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia
Kegembiraan enam rakan menghabiskan cuti umum dengan beriadah di Air Terjun Lubuk Jepun, Batu 16 Gombak di sini, bertukar tragedi apabila tiga daripada mereka lemas.
Tiga yang lemas itu dikenal pasti sebagai Muhammad Abdullah, 22, Sazwan Rahim dan Azrul Hisham Azman, masing-masing berusia 27 tahun.
Ketua Polis Daerah Gombak ACP Ali Ahmad berkata kejadian kira-kira 10.30 pagi itu berlaku apabila selipar Muhammad, pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), terjatuh di pusar air terjun berkenaan.
"Mangsa yang cuba mengambil selipar dipercayai tergelincir sebelum terjatuh di pusar air sedalam kira-kira empat meter.
"Sazwan dan Azrul Hisham yang merupakan pelajar Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) cuba membantu mangsa, juga lemas," katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.
Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Mohd Sani Harul berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 10.41 pagi dan tiba di lokasi pada 11.36 pagi.
"Mayat ketiga-tiga mangsa dibawa naik oleh orang awam," katanya.
Difahamkan, mayat ketiga-tiga mangsa akan dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat. -- Bernama
#air terjun gombak #Air Terjun Lubuk Jepun #mati lemas
;