Tiga pekerja restoran pengsan terhidu gas bocor
Bernama
Januari 16, 2025 13:42 MYT
Januari 16, 2025 13:42 MYT
KUALA NERUS: Tiga pekerja sebuah restoran dikejarkan ke hospital selepas pengsan terhidu gas bocor di premis berkenaan di sini hari ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BPP) Kuala Nerus Azmi Omar berkata 11 anggotanya digegaskan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan pada 9.48 pagi.
"Kami terima panggilan daripada seorang lagi pekerja restoran itu yang melihat tiga rakannya pengsan seorang demi seorang di bahagian dapur, namun lelaki itu selamat kerana memakai pelitup muka ketika kejadian.
"Bomba telah buat pengalihan udara dengan membuka pintu restoran untuk tempoh tiga jam selain menutup injap LPG (gas petroleum cecair). Kami telah uji injap berkenaan dan hasil operasi setakat ini mengesyaki kebocoran itu berpunca daripada gas memasak," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Azmi berkata kesemua mangsa berusia lingkungan 20-an telah dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu bagi mendapatkan rawatan.
Beliau berkata pihaknya menunggu Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) BBP Kerteh untuk mengesahkan sama ada kebocoran itu membabitkan gas amonia atau tidak.
"Buat masa ini, keadaan premis adalah selamat tetapi akan ditutup sementara waktu sehingga pengesahan dibuat pasukan Hazmat," katanya.
-- BERNAMA