Tiga pekerja resort hilang di laut: APPM tidak menolak kemungkinan bot dinaiki alami kerosakan
Astro Awani
Ogos 1, 2019 17:25 MYT
Ogos 1, 2019 17:25 MYT
Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) tidak menolak kemungkinan bot yang dinaiki tiga pekerja resort yang dilaporkan hilang di perairan Pulau Tenggol, mengalami kerosakan.
Pengarah APMM Terengganu, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata, situasi itu mungkin menyebabkan kesemua mangsa dihanyutkan arus.
Bagaimanapun, Muhammad Suffi berkata rondaan dan pemantauan bagi mengesan ke semua mangsa masih giat dilakukan.
“Kemungkinan awal kita percaya bot ini mengalami kerosakan. Kita tidak menolak (kemungkinan) bot ini terbalik atau karam.
“Kita tak menolak sebab kita tengok keadaan cuaca, ombak yang tinggi semalam hingga mencecah 2.5 meter, di mana keadaan laut juga tidak menentu. (Faktor) angin kuat dan juga pengliatan. Di perairan Dungun ni agak kurang (jarak pandangan) kerana jerebu,” ujar beliau.
Tambah Muhammad Suffi, sebuah pesawat bombardier APMM turut digunakan bagi mengesan mangsa menerusi udara.
Jelasnya, tinjauan udara yang dilakukan merangkumi sektor keluasan 106 batu nautika dari perairan Pulau Tenggol selain pencarian di laut.
Pada Rabu, ketiga-tiga mangsa dalam perjalanan menuju ke Pulau Tenggol bagi menghantar bekalan makanan.
Kesemua mangsa berlepas dari sebuah jeti di Kampung Seberang Pintasan pada jam 12.30 tengah hari.
Namun, sehingga jam 3 petang, bot yang dipandu Fauzi Mohamad, 40 tahun, tidak tiba di pulau dan usaha menghubungi mereka dengan menggunakan radio turut gagal.