Tiga pekerja kelaparan, kesejukan tiga hari terperangkap di ladang akibat banjir - Bomba

Bernama
November 29, 2024 17:07 MYT
Kesemua pekerja ladang terbabit diselamatkan penduduk tempatan yang turut membantu operasi mencari mereka. - Gambar hiasan/BERNAMA
GUA MUSANG: Tiga lelaki yang kelaparan dan kesejukan akibat terperangkap di ladang kelapa sawit ketika banjir berjaya diselamatkan di Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar Chalil, semalam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gua Musang Penolong Kanan Penguasa Bomba Nor Azizi Che Noh berkata kesemua pekerja ladang terbabit diselamatkan penduduk tempatan yang turut membantu operasi mencari mereka.
Beliau berkata kawasan terbabit mula digenangi air bermula pada Selasa lepas menyebabkan enam pekerja yang berada di dalam ladang tidak sempat keluar menyelamatkan diri.
"Bagaimanapun pada keesokan hari (Rabu) tiga daripada mereka berjaya keluar dengan cara berpaut pada batang kayu sebelum meredah arus deras serta berjalan sejauh lebih 6 kilometer (km) untuk mendapatkan bantuan.
"Pada hari sama juga keluarga seorang daripada mereka telah membuat laporan di Balai Polis Paloh apabila mendapati mereka tidak pulang ke rumah," katanya ketika dihubungi hari ini.
Nor Azizi berkata operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilakukan bersama pihak Polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), dan turut disertai penduduk kampung.
"Selain perlu berenang mengharungi arus deras, operasi menyelamat menjadi sukar kerana ada beberapa tempat yang memerlukan anggota penyelamat berjalan sambil mengusung bot ekoran jalan ladang mempunyai pelbagai jenis permukaan, itu sebabnya operasi menyelamat memakan masa sehingga dua hari.
"Pasukan penyelamat turut menemukan lori sawit, motosikal pekerja serta pondok yang bina selepas berenang dan berjalan sejauh lebih 2km dari Sungai Chalil pada hari kedua SAR, semalam," katanya.
-- BERNAMA
#pekerja ladang diselamatkan #Rancangan Kemajuan Tanah Kesedar Chalil #bomba Gua Musang #Banjir 2024 #monsun timur laut #Bah Kuning
;