Tiga pegawai polis berpangkat ACP, DSP, Inspektor disyaki terlibat pemerasan ditahan
Umavathi Ramayah
Mei 3, 2024 21:24 MYT
Mei 3, 2024 21:24 MYT
KUALA LUMPUR: Tiga pegawai kanan polis berpangkat Asisten Komisoner, Deputi Superitendan dan Inspektor yang disyaki terlibat dalam kes pemerasan berjumlah RM1.25 juta ditahan di sekitar Jalan Tun Razak, di sini pada Jumaat.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain memberitahu, polis turut membuka kertas siasatan berhubung kes itu.
"Siasatan masih di peringkat siasatan dan kita memberi jaminan akan menjalankan siasaran secara menyeluruh.
"Ketika disoal siasat pada peringkat awal, kesemua suspek menafikan penglibatan mereka dalam kes itu.
"Ketika ini kita sedang giat mengumpul maklumat risikan serta bukti secukupnya bagi memastikan kesemua yang terlibat dapat dibawa ke muka pengadilan," katanya dalam kenyataan di sini, pada Jumaat.
Razarudin memberitahu, polis akan memohon perintah tahanan ke atas kesemua suspek yang berusia 38 hingga 50 tahun itu pada Sabtu.
Kes itu katanya disiasat Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian Undang-undang/Pendakwaan (D5), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Bukit Aman.
"Mereka akan disiasat mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan kerana melakukan pemerasan," jelasnya.
Seksyen itu memperuntukan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau dengan denda atau dengan sebatan atau dengan mana-mana dua daripada hukuman itu.
Sehubungan itu, Razarudin meminta orang ramai supaya tidak membuat sebarang ulasan atau spekulasi yang boleh mengganggu siasatan.