Tiga pegawai penguat kuasa antara ditahan reman terima rasuah

Pia Ernadya
Ogos 30, 2024 22:51 MYT
Ia susulan Ops Pump SPRM yang menggerakkan Ops Setting hasil daripada perkongsian maklumat perisikan antara agensi. - Foto ihsan SPRM
KUALA LUMPUR: Lima individu termasuk tiga pegawai sebuah agensi penguat kuasa yang berkhidmat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ditahan reman pada Jumaat.
Menurut Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam satu kenyataan hari ini, kesemua suspek ditahan bagi membantu siasatan kerana disyaki menerima rasuah membabitkan sindiket membawa masuk warga asing tanpa mengikut pemeriksaan yang sepatutnya.
Ia susulan Ops Setting yang merupakan hasil daripada perkongsian maklumat perisikan antara agensi.
“Suspek penguat kuasa tersebut disyaki terlibat dengan perbuatan itu sejak tahun 2016 dengan menerima bayaran rasuah RM300 sampai RM2,500 sebagai balasan untuk melepaskan warga asing masuk menggunakan modus operandi ‘counter setting’.
“Turut ditahan reman adalah seorang proksi yang menjadi pemegang aset bagi pihak suspek utama dan juga seorang isteri kepada suspek utama yang masih belum dikesan dan turut berperanan bersubahat.
"Hasil serbuan juga turut menyita lebih kurang RM200,000 wang tunai dan barangan kemas bernilai RM50,000. Malah beberapa kenderaan yang dibeli secara tunai juga telah disita, katanya," jelas kenyataan tersebut.
Kelima-lima suspek yang terdiri dari empat lelaki dan seorang wanita berusia lingkungan 20-an hingga 40-an itu direman antara satu hingga lima hari.
Perintah reman dikeluarkan Majistret S. Arunjothy selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pada pagi Jumaat.
Menurut sumber SPRM, agensi itu pada Khamis telah menahan 14 suspek dalam operasi di sekitar Lembah Klang, di mana mereka kemudia dibawa pejabat SPRM Kuala Lumpur untuk membantu siasatan.
Sembilan daripada mereka telah dilepaskan selepas memberikan keterangan.
Sementara itu, SPRM turut memaklumkan, Ketua Pesuruhjayanya Tan Sri Azam Baki mengesahkan tangkapan tersebut dan berkata kes disiasat di bawah Seksyen 16 Akta SPRM 2009.
#SPRM #Rasuah #KLIA #penguat kuasa