Tiga pegawai Imigresen ditahan kes seludup, pemerdagangan manusia di KLIA dan JB
Bernama
November 9, 2022 16:05 MYT
November 9, 2022 16:05 MYT
JOHOR BAHRU: Tiga pegawai imigresen ditahan membabitkan kes penyeludupan dan pemerdagangan manusia di beberapa lokasi di Sepang, Iskandar Puteri dan Johor Bahru, dua hari lepas.
Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata tangkapan itu membabitkan kes penyeludupan warga asing di Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), di Iskandar Puteri pada 12 Oktober; Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) pada 1 November dan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ), Bangunan Sultan Iskandar (BSI), di sini, dua hari lepas.
"Operasi pertama di KSAB, seorang pegawai ditahan dan disiasat serta berada dalam jaminan polis, kedua (kes seludup) di Kota Bahru Kelantan, tetapi tiada pegawai imigresen terlibat.
"Di KLIA2 pula, seorang pegawai imigresen telah direman dan akan dituduh sewajarnya di bawah Akta Antipemerdagangan Orang, manakala terbaru di BSI pada 7 November, seorang pegawai imigresen disiasat," katanya pada sidang media di BSI, di sini hari ini.
Turut hadir Pengarah Jabatan Imigresen Johor Baharuddin Tahir.
Khairul Dzaimee berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai perkembangan kes penyeludupan warga asing yang dipercayai melibatkan pegawai imigresen.
Selain itu, beliau turut menegaskan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) tidak akan berkompromi dan menjelaskan individu yang terlibat akan disiasat dan berdepan tindakan tegas termasuk dibuang kerja sekiranya didapati bersalah sepertimana yang dimaklumkan Menteri Dalam Negeri (KDN) Datuk Seri Hamzah Zainudin semalam.
"Penglibatan pegawai ini tidak menggambarkan tahap keseluruhan integriti jabatan, ini hanyalah kes terpencil yang hanya melibatkan segelintir kecil pegawai sahaja," katanya.
Pada 12 Oktober lepas, JIM menahan 25 pendatang tanpa izin warga Indonesia yang dipercayai memasuki negara ini menerusi pintu sempadan di KSAB, manakala enam lelaki warganegara India ditahan di KLIA2 pada 1 Nov.
Pada dua hari lepas, seramai 12 pendatang tanpa izin warga Indonesia pula ditahan semasa pemeriksaan di CIQ BSI.
-- BERNAMA