Tiga PATI terlibat ajaran sesat 'Wali Tujuh' direman 14 hari
Radhi Muslim
Februari 3, 2022 19:45 MYT
Februari 3, 2022 19:45 MYT
KINABATANGAN: Tiga lelaki yang ditahan dipercayai terlibat dengan kegiatan ajaran sesat dan ilmu kebal 'Wali Tujuh' di Ladang Bukit Kertam Kinabatangan ditahan reman 14 hari.
Ketua Polis Daerah Kinabatangan, Superintendan Dzulbaharin Ismail berkata, kesemua mereka ditahan reman mengikut Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki keterangan diri yang sah.
"Untuk makluman ketiga-tiga suspek ditahan di bawah Akta Imigresen yang mana tempoh reman di antara 14 hari.
"Kita akan bawa kertas siasatan kepada timbalan pendakwaraya bagi proses pendakwaan," katanya kepada Astro AWANI pada Khamis.
Terdahulu, pada Rabu, Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) menahan tiga lelaki yang terbabit dengan ajaran itu di sebuah rumah pekerja ladang di Kinabatangan.
Turut dirampas beberapa barang peribadi milik seorang daripada individu terbabit iaitu pisau, senjata, pelbagai jenis tangkal.