Tiga PATI pengikut ajaran sesat, ilmu kebal 'Wali Tujuh' ditahan

Radhi Muslim
Februari 2, 2022 07:45 MYT
Ketiga-tiga lelaki itu ditahan dalam satu serbuan di salah sebuah rumah pekerja Ladang Bukit Kertam, Kinatabangan semalam.
SANDAKAN: Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) menahan tiga lelaki pendatang asing tanpa izin (PATI) selepas dipercayai terlibat dengan ajaran sesat dan ilmu kebal 'Wali Tujuh'.
Komander Esscom, Deputi Komisioner Hamzah Ahmad berkata ketiga-tiga lelaki itu ditahan dalam satu serbuan di salah sebuah rumah pekerja Ladang Bukit Kertam, Kinatabangan semalam.
Menurutnya, ketika serbuan, beberapa barang peribadi milik salah seorang individu yang dipercayai ada kaitan dengan ajaran sesat dan ilmu kebal dirampas.
"Selain penahanan tiga lelaki ini, turut dirampas kalendar 'putikaan' (tilik), pisau, senjata jenis lastik dan pelbagai tangkal.
"Malah, kesemua mereka juga tidak mempunyai dokumen pengenalan diri," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Ajaran Sesat | ESSCOM tahan 3 PATI pengikut ajaran 'Wali Tujuh'
Tambah Hamzah, siasatan awal, kumpulan itu diketuai seorang guru dengan dibantu dua individu dan dipercayai aktif menjalankan kegiatan ajaran sesat sejak tiga bulan lalu.
Jelasnya, siasatan juga mendapati kegiatan kumpulan ini berkembang pantas dan menarik minat pekerja ladang di sekitar Lahad Datu dan Kinabatangan.
"Setakat ini, kita percaya kumpulan itu mempunyai seramai 20 pengikut terdiri daripada warga asing yang merupakan pekerja ladang," katanya.
Sehubungan itu, Esscom ingin menasihatkan orang ramai agar tidak terpengaruh dengan ajaran atau dakyah baharu yang boleh mengganggu-gugat ketenteraman awam dan keselamatan di kawasan timur Sabah.
#ESSCom #Pengikut Wali Tujuh #ajaran sesat #kalendar tilik