Tiga pasang kembar seiras curi tumpuan hari pertama sekolah
Nazialita Geynna Maharan
Januari 2, 2018 20:25 MYT
Januari 2, 2018 20:25 MYT
Hari pertama sesi persekolahan terutamanya bagi murid Tahun 1 di Sekolah Kebangsaan (SK) Silibin di sini menjadi tumpuan apabila tiga pasangan kembar seiras hadir bersama ibu bapa masing-masing hari ini.
Malah, kehadiran keenam-enam mereka yang merupakan antara 93 murid Tahun 1 berdaftar di sekolah tersebut turut menarik perhatian golongan ibu bapa serta warga pendidik yang teruja dengan pendaftaran kembar-kembar berkenaan.
Ketika ditemui Astro AWANI, bapa kepada pasangan Muhammad Syits Daniel dan Muhammad Syits Danish iaitu Shamsuri Saad, 37, menjelaskan, kedua-dua anaknya itu sangat gembira untuk memulakan hari pertama persekolahan apabila sering mencuba pakaian seragam yang dibeli.
Katanya, dia cukup yakin bahawa perasaan untuk melaksanakan persediaaan buat anak kembarnya pasti berbeza dengan ibu bapa lain kerana kali ini, ianya perlu dilaksanakan buat dua murid sekaligus.
Shamsuri juga sempat meluahkan perasaan terhibur dengan gelagat anak kembarnya yang tidak sabar untuk pergi ke sekolah dan berkenalan dengan rakan baru biarpun akan dikelilingi suasana serba baharu.
Tambahnya, dia sedikit risau apabila pasangan tersebut dipisahkan di dalam kelas berlainan kerana kedua-dua anaknya itu tidak pernah berpisah dan sering melakukan aktiviti bersama sebelum ini.
“Untuk persiapan mereka, semua yang dicari kena double, kalau bendanya berbeza, mereka akan protes, memang mereka hendak benda yang semuanya sama.
“Cikgu kata, kita tengok dulu minggu ni macam mana.. kalau si kembar ada masalah, mereka akan disatukan. Kalau tiada masalah, eloklah dipisahkan. Tapi memang berairlah mata mereka tadi sebab dah biasa bersama,” kata Shamsuri.
Bagi N. Sathiyawani, 36, ibu kepada pasangan kembar A. Yasheca dan A. Yashela, dia menjelaskan kedua-dua anaknya begitu teruja untuk memulakan persekolahan sejak dua minggu lalu apabila sering bertanya tarikh mula sekolah.
“Mereka memang bersemangat, dah siapkan beg dan kasut sekolah sejak dua minggu lepas. Mereka bosan di rumah dan hendak cari kawan-kawan baru,” katanya.
Dalam pada itu, Guru Besar SK Silibin, Badrul Hisham Yusof berkata seramai 90 daripada 93 murid Tahun 1 telah mendaftar dan hadir ke sekolah bagi sesi 2018 yang bermula hari ini.
Katanya juga, ini merupakan kali pertama sekolah itu menerima kemasukan tiga pasangan kembar seiras serentak.
“Untuk pasangan-pasangan kembar, dasar kita adalah untuk memisahkan mereka tetapi kita ada proses transisi selama seminggu. Dalam seminggu ni, kita tengok keberkesanan, jika ia menggangu pembelajaran mereka atau tidak. Jika ya, mereka akan dicantumkan semula,” kata Badrul Hisham.
Dalam pada itu katanya, pihak sekolah pada tahun ini akan memberi tumpuan untuk mengatasi masalah penguasaan 3M iaitu membaca, menulis dan mengira supaya murid Tahun 1 tidak berhadapan masalah apabila memasuki Tahun 2 nanti.
#hari pertama sekolah
#kembar seiras
#Sekolah Kebangsaan Silibin
#sesi persekolahan 2018
#SK Silibin