Tiga parti Melayu dominasi kerajaan, tetapi masih tiada perpaduan - Penganalisis

Ridauddin Daud
Februari 24, 2022 09:05 MYT
WONG: Ancaman paling besar kepada hubungan kaum dalam kalangan rakyat Malaysia adalah persaingan politik yang tidak kena, tidak produktif dan membinasakan. - Foto Sinar Harian
KUALA LUMPUR: Orang Melayu sejak dari dahulu takut dengan sentimen sekiranya UMNO tidak memerintah Malaysia, maka orang Melayu akan ditenggelamkan.
Namun, selepas tiga parti Melayu iaitu UMNO, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas mendominasi kerajaan, perpaduan dalam kalangan orang Melayu masih belum kelihatan.
Demikian pandangan dikemukakan penganalisis politik dari Universiti Sunway, Prof Wong Chin Huat, yang mengibaratkan situasi itu seperti “tiga beradik yang mengejar satu perempuan yang sama.”
Menurutnya, penyatuan politik antara orang Melayu tidak mungkin terjadi, sama juga seperti perpaduan dalam kalangan orang Cina, India, Kadazan atau Dayak.
Ini kerana, katanya, di Malaysia ada kebebasan dan rakyatnya tidak terikat, terutamanya dari aspek politik.
BACA: Abdul Hadi dakwa UMNO masih amalkan politik sempit
BACA: Pas terus berusaha jadi penyatu parti-parti politik Melayu - Khairil Nizam
“Saya rasa ancaman paling besar kepada hubungan kaum kita seperti difahami ramai rakyat Malaysia adalah persaingan politik yang tidak kena, tidak produktif dan membinasakan.
“Untuk memperbaiki keadaan, kita perlu memancarkan (berkongsi) kuasa, mengurangkan penumpuan kuasa, untuk menggalakkan persaingan yang tidak berasaskan kaum dan agama.
“Kita perlu perubahan dalam sistem pilihan raya, perubahan dalam Parlimen. Sungguhpun kerajaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob belum lakukan lebih banyak, tetapi MoU (perjanjian persefahaman kerajaan-pembangkang) itu sebenarnya berasaskan reformasi Parlimen,” katanya.
Politik | Pertemuan pemimpin politik parti Melayu perlu dibuat
Beliau berkata demikian dalam program bual bicara Bersama Johan Jaaffar yang disiarkan Sinar Harian pada Rabu.
Tambahnya, sekolah vernakular sering dianggap sebagai punca tiadanya perpaduan dalam kalangan rakyat. Namun, sebenarnya integrasi atau gabungan antara kaum banyak berlaku di sana.
“Kita sebenarnya ada satu trend yang beralih ke arah lain. Kita sebenarnya melihat lebih banyak integrasi di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina.
“Sekarang, satu daripada lima murid di sekolah Cina bukan dari keturunan Cina. Dan jumlahnya semakin meningkat,” ujarnya.
Ketika ditanya apakah punca berlakunya situasi seperti itu, ini jawapan Chin Huat:
“Ia mungkin berkaitan dengan nilai Bahasa Cina, tetapi yang saya rasa lebih penting adalah, suasana belajar di sekolah Cina.
“Kalau kita ingin memupuk integrasi di peringkat sekolah, apa yang kita perlu buat ialah memberi insentif kepada sekolah yang mencapai integrasi lebih tinggi,” katanya.
#perpaduan #orang Melayu #integrasi #Wong Chin Huat
;