Tiga parah, nahas tiga kenderaan di Lebuhraya Utara-Selatan

Abd Razak Mohd Ali
Julai 13, 2022 06:50 MYT
Anggota bomba membantu mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kemalangan di Kilometer 294.5 Lebuhraya Utara-Selatan, arah utara, dekat Gopeng, awal pagi ini. - Foto JBPM Perak
GOPENG: Tiga cedera parah dalam kemalangan dua buah kereta dan sebuah treler di Kilometer 294.5 Lebuhraya Utara-Selatan, arah utara, dekat sini, awal pagi ini.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kemalangan itu pada 12.52 pagi.
Menurutnya, kemalangan melibatkan masing-masing sebuah kereta jenis Proton Saga, Honda City dan treler dengan muatan besi.
“Setibanya jentera di lokasi kejadian, didapati kemalangan melibatkan tiga buah kenderaan di mana Proton Saga telah melanggar belakang treler.
“Kereta Honda City yang gagal mengelak dipercayai melanggar belakang Proton Saga menyebabkan tiga penumpang dalam Proton Saga (dua lelaki, seorang wanita) tersepit,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut jurucakap itu lagi, anggota bomba menggunakan peralatan menyelamat untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit dan menyerahkan mereka kepada pihak ambulans untuk tindakan lanjut.
Bagaimanapun, katanya, pemandu Honda City dan treler terselamat.
Operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan II Mohd Tarmizi Rasid tamat jam 2.05 pagi.
#JBPM Perak #Lebuhraya Utara Selatan #mangsa tersepit dalam kereta #nahas tiga kenderaan
;